Sebuah pesawat domestik Indonesia yang membawa 54 penumpang dan krew terputus perhubungan dengan pusat kawalan trafik udara pada Ahad di timur daerah Papua.
Terkini, Pesawat Trigana Air Service, TGN267 yang dilaporkan terputus hubungan dijumpai terhempas di Okbape, wilayah Pergunungan Bintang, Papua. Pesawat tersebut membawa 44 penumpang dewasa, lima kanak-kanak beserta bayi, dan lima kru.
Sementara itu menurut Ketua Pengarah Perhubungan Udara, Prasetyo, pihaknya mendapat maklumat daripada penduduk setempat yang mendakwa menemui pesawat yang sedang dalam perjalanan dari Jayapura ke Oksibil itu terhempas di kawasan pergunungan.
Dalam perkembangan sama, Pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri) serta masyarakat Oksibil mula melakukan misi mencari dan menyelamat untuk mencari pesawat ATR 42-30 milik PT Trigana Air Service yang hilang ketika dalam perjalanan dari Bandar Sentani, Jayapura menuju Oksibil di Wilayah Pergunungan Bintang.
Menurut laporan CNN Indonesia, pasukan tersebut digerakkan sekitar jam 6 petang waktu tempatan ke lokasi terakhir pesawat berkenaan.
“Pasukan digerakkan ke lokasi terakhir pesawat dikesan sekitar desa Bape, Daerah Okbape, 24 kilometer dari Oksibil ke arah Barat. Namun pencarian berdasarkan lokasi terakhir pesawat terputus hubungan,” kata Left Kol Inf. Arief Hidayat ketika dihubungi CNN Indonesia.
Tambahnya, jumlah pasukan yang digerakkan ialah 47 orang dan pasukan lain dijangka tiba esok pagi.
“Setakat ini belum ada apa-apa laporan dari penduduk tempatan (berkaitan pesawat terbabit). Keadaan cuaca amat mencabar memandangkan suhu sekitar 6 hingga 10 darjah Celcius,” ujarnya.
Astro Awani