Anda kekurangan wang? Berkira-kira dalam membeli produk kecantikan? Apakata anda berjalan ke dapur anda dan cuba remedi semulajadi untuk kulit dan rambut yang kami kongsikan ini:
GULA
Selain menambah kemanisan pada makanan dan minuman anda, gula juga boleh menjadi bahan pengelupasan lembut. Tambahkan gula pada pembersih muka atau badan anda dan ia akan membantu membuang sel kulit mati. Sebagai alternatif, anda juga boleh membuat skrub DIY anda sendiri menggunakan minyak pati, minyak zaitun dan gula.
KIUB AIS
Urut muka dengan kiub ais selepas pembersihan dan sebelum memakai mekap agar liang roma kurang kelihatan. Anda harus gosokkan kiub ais dalam gerakan menaik dan ke luar. Ketulan ais juga merupakan penawar yang baik untuk keradangan yang disebabkan oleh jerawat.
LEMON
Lemon mempunyai ciri-ciri anti-bakteria dan anti-kulat; penyelesaian yang sempurna untuk jerawat dan bintik hitam. Jus lemon juga membantu merawat masalah kulit berminyak, mencerahkan tona kulit dan juga memutihkan gigi anda.
TEH
Tidak mahu berbelanja besar pada produk penjagaan kulit? Uncang teh boleh digunakan untuk menghilangkan lingkaran hitam di bawah mata anda. Selain itu, gunakan teh hijau sebagai toner untuk membantu menyegar dan menegangkan kulit anda.
KOPI
Tambahkan kopi pada mask rambut anda untuk memberikan rambut yang lebih bersinar. Serbuk kopi juga boleh digunakan sebagai skrub untuk mengurangkan selulit pada badan.
MADU
Madu secara semulajadi berupaya menarik kelembapan dari udara ke dalam kulit, jadi ia memberikan penghidratan yang tahan lama. Ciri-ciri antibakteria dan anti-radang yang ada pada madu membantu mengurangkan kemunculan parut dengan regenerasi sel-sel tisu. Anda juga boleh menggunakan madu dalam mask rambut anda untuk menambah sinar kepada rambut kusam.
MINYAK KELAPA
Minyak kelapa berkuasa dalam menangani masalah tangan kering. Letakkan sedikit selepas mencuci pinggan mangkuk untuk menjaga kelembapan tangan anda. Kehabisan krim pencukur? Sapukan minyak kelapa dan bercukur. Selain itu ia juga boleh melembapkan kaki anda! Adakah anda tahu bahawa minyak kelapa juga boleh menanggalkan solekan kalis air? Minyak ini membantu menaggalkan pigmen dalam mekap dan meninggalkan muka anda terhidrat.
YOGURT
Yogurt memusnahkan pelbagai bakteria, kulat dan kuman yang menyebabkan jerawat. Ia juga boleh melawan radikal bebas dan dikatakan mengandungi ciri-ciri anti-penuaan yang melambatkan kemunculan kedutan, sambil mengekalkan keanjalan muka anda. Yogurt yang diletakkan pada rambut pula membantu merangsang pertumbuhan rambut kerana ia bertindak sebagai pembersih semulajadi dan membantu menghilangkan kelemumur. Manfaat anti-bakteria juga membantu mengurangkan masalah gatal kulit kepala.