Resh atau sebelum ini lebih dikenali sebagai Reshmonu kembali untuk menggegarkan industri muzik. Kali ini bukan sahaja di peringkat tempatan, album EP Resh yang bakal keluar tidak lama lagi akan lebih memfokuskan ke peringkat antarabangsa.
Apabila ditanyakan kenapa dia memilih untuk menggunakan Resh berbanding nama Reshmonu yang telah digunakan hampir 10 tahun, dia membalas Resh adalah sebahagian dari namanya yang sebenar iaitu Hiresh.
“Monu bermaksud Matahari dalam bahasa ibunda saya. Memang berat untuk saya tidak lagi menggunakan Monu tapi apa yang boleh saya katakan ‘Matahari’ itu telahpun menjadi matang dan hidup harus diteruskan,” jawab Resh.
Tiada apa yang berbeza antara dua nama ini, baginya dia tetap Reshmonu yang dahulu cuma kelainan ini ditonjolkan melalui muzik baru. Malah dia juga tidak gentar jika dia kehilangan peminat kerana baginya, peminatnya yang mengikuti muziknya akan terus menyokongnya.
Muzik Baru
Album EP Resh bakal menemui peminatnya pada penggal ketiga tahun ini. Album yang menampilkan 7 buah lagu tersebut termasuk single terbarunya, Half The Man, bakal membuatkan pendengar untuk mendengar sisi barunya itu.
Dengan mood serta ‘feel’ yang baru, album EP ini mensasarkan lebih kepada pendengar antarabangsa. Bukan mengetepikan pendengar tempatan, Resh yakin peminat muzik mampu menghargai muzik segar yang bakal ditampilkannya. Malah album ini turut mendapat sentuhan produser yang pernah menghasilkan muzik untuk penyanyi pop, Britney Spears dan Nelly Furtado.
Half The Man
Single pertamanya, Half The Man telahpun berkumandang di radio tempatan dan kini lagu tersebut sudahpun diagihkan untuk pasaran di Filipina, Indonesia and Singapura sebagai permulaan.
Half The Man juga merupakan hasil gandingan Resh bersama produser terkenal yang menghasilkan muzik untuk drama bersiri popular Amerika, Empire, Jim Beanz. Muzik yang dihasilkan adalah lebih matang dan baru tapi sesuatu yang boleh diterima pasaran.
Resh turut memberitahu pengalaman bekerjasama dengan Jim adalah pengalaman yang mengujakan dan dia tidak sabar untuk berkongsikan muzik terbarunya itu dengan peminatnya.