Sebagai simbol kebangsaan, Jalur Gemilang disanjungi dan dihormati seluruh rakyat Malaysia.
Bagi sekumpulan wartawan dari Pahang, semangat patriotik mereka dipamerkan dengan acara pendakian selama 12 jam ke puncak Pulau Tioman, Gunung Kajang, setinggi 1,027 meter sambil membawa bendera Malaysia.
Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Haizi Husin, berkata misi mencabar itu bermula dari jam 7pagi.
“Trek pendakian itu tiada penunjuk arah jadi kami harus mematuhi arahan malim gunung supaya tidak mudah sesat.
“Trek pendakian sangat curam dan berbatu.
“Walaupun penat, kami meneruskan juga perjalanan hingga ke puncak untuk menjadi kumpulan wartawan pertama yang dapat memacakkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi Pulau Tioman,” kata beliau kepada The Rakyat Post.
Beliau berkata, mereka meraikan kejayaan itu hanya selepas mereka tiba di kaki gunung pada jam 9 malam.
Ketua Ekspedisi serta wakil dari TV3, Fazli Ahmad berharap pencapaian mereka dapat menyuntik semangat kepada rakyat Malaysia yang lain untuk mengibarkan bendera negara walau di mana jua dan tidak mengira masa.
“Sebagai pengamal media, kami berbangga dengan simbol kebangsaan, di mana ianya penting dalam mempamerkan semangat patriotik.
“Misi kami untuk memacak Jalur Gemilang sangat penting kerana sambutan hari kemerdekaan yang kian hampir,” jelas beliau.