Dalam keadaan ekonomi yang terumbang-ambing, ramai diantara individu di Malaysia terpaksa menanggung padah dek kehilangan pekerjaan, harta, malah juga keluarga. Hidup sesungguhnya bukan mudah seperti dalam kisah dongeng. Tanpa ada pilihan yang sebaiknya, ada yang menempah nama menjadi golongan yang digelar gelandangan.
Seperti di negara barat, golongan gelandangan sama sekali dijaga rapi oleh kebanyakan badan kerajaan dan bukan kerajaan. Mereka disediakan tempat perlindungan sementara dan kebajikan mereka diutamakan. Oleh itu, keadaan ini cuba dicontohi oleh Malaysia.
Kalau dulu, ada diantara kita yang melempar pandangan kolot kata geladangan hina, tetapi kini, kearah mewujudkan negara yang lebih maju, Malaysia turut membuka peluang kepada golongan gelandangan untuk mengejar masa hadapan yang lebih cerah.
Anjung Singgah yang dikelolakan oleh Yayasan Kebajikan Negara, Malaysia adalah merupakan sebuah pusat intervensi sosial bagi membantu golongan gelandangan selari dengan tujuan negara bagi membanteras gejala sosial yang tidak sihat itu agar tidak terus menular dalam kalangan masyarakat kita hari ini.
Pada tahun 2011, Anjung Singgah mula diperkenalkan di Kuala Lumpur diikuti dengan di Kuching, Sarawak pada Oktober 2012 dan kini di Johor. Ia bukan sahaja sekadar rumah kebajikan yang memberi tempat perlindungan bagi mereka yang tidak bernasib baik malah juga menyediakan fasiliti, kelengakapan asas harian yang sempurna serta khidmat kaunseling, peluang pekerjaan dan tidak ketinggalan menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma keatas tetamu yang menginap di rumah perlindungan berkenaan.
Buat masa ini, pihak Anjung Singgah tidak menetapkan apa-apa syarat keutamaan kepada sesiapa yang mahu menginap di situ. Asalkan sahaja mereka mempunyai kad pengenalan Malaysia yang sah dan tidak mempunyai sebarang penyakit berbahaya, ketagihan dadah atau alkoholik. Para tetamu boleh menginap di Anjung Singgah sehingga dua minggu pada satu-satu masa.
Orang perseorangan, syarikat korporat atau sesiapa sahaja yang berminat untuk menghulurkan sumbangan adalah dialu-alukan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Anjung Singgah oleh Yayasan Kebajikan Negara di www.yknm.org.
[SUMBER]