Nama SUZUKI Swift sangat sinonim dengan gaya rekaan automobil yang berbentuk kompak dan sporty. Baru-baru ini, SUZUKI Malaysia Automobile Sdn Bhd telah melancarkan keluaran baru SUZUKI Swift RR2 Edisi Terhad. Ini adalah selaras dengan pelancaran wajah baharu kereta kompak terlarisnya, Suzuki Swift Baharu.
Swift amat terkenal dengan prestasi dinamik serta kawalan yang hebat di atas jalan, kini kereta kompak segmen-B yang berwajah baharu ini boleh didapati dalam empat pilihan terdiri daripada GA, GL GLX dan RR2 edisi terhad.
Apa yang lebih menarik, edisi terhad RR2 ini memiliki spesifikasi yang sama dengan SUZUKI Swift GL baharu, dengan tambahan ciri-ciri bergaya seperti 16-inci Rim Aloi Logam, pelekat rekaan yang memperlihatkan gaya sporty di Depan dan Sisi.
Dalam pada itu, RR2 edisi terhad hanya terdapat dalam dua varian iaitu warna Bayside Blue dan Supreme Red sahaja.
Keempat-empat model ini dijana oleh enjin petrol 1.4liter dengan output maksimum 95PS (70kW)/6,000rpm serta menawarkan minimum 5.2m radius pusingan, membuatkan ia sesuai untuk dipandu dalam hingar-binggar kesibukan kota.
Pemilik juga akan ditawarkan dengan rangkaian penuh ciri-ciri standard Swift seperti kapasiti tangki minyak sebesar 42L, kapasiti muatan 211 liter (Tempat Duduk Belakang Dinaikkan), Beg Udara Dwi SRS, Bantuan Brek (BA) dan Brek Antikunci (ABS) dengan Edaran Kuasa Brek Elektronik (EBD).
RR2 Edisi Terhad ini dijual pada harga RM69,888 untuk Semenanjung Malaysia dan RM72,524 untuk Sabah dan Sarawak. Manakala SUZUKI Swift GA boleh didapati bermula RM58,227.10 untuk Semenanjung Malaysia. Semua harga jualan adalah di atas jalan (OTR) termasuk GST, tetapi tidak termasuk insurans selain berpeluang menikmati jaminan 3+2 tahun oleh pusat servis SUZUKI yang diiktiraf.
Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang SUZUKI Swift RR2 Edisi Terhad, and boleh ke laman sesawang rasmi SUZUKI Malaysia Automobile Sdn Bhd di www.suzuki.net.my.