Suatu ketika dahulu, pastri manis yang berasaskan putih telur dan tepung badam macaron ini hangat diperkatakan oleh peminat pencuci mulut sekalian.
Selain daripada rasa rangup dan kenyal yang ada pada tekstur macaron, ramai di antara kita yang agak keliru dengan kedua-dua kuih ini.
Antara Macaron dan Macaroon, bunyinya lebih kurang dan ejaannya pun seakan-akan sama! Tetapi tahukah anda yang sebenarnya kedua-dua perkataan itu membawa maksud yang berlainan? Macaroon yang disebut (mah-kah-ROON) merupakan pastri klasik perancis yang menggunakan putih telur dan kelapa parut sebagai bahan utama dan Macaron pula disebut (mah-kah-ROHN) merupakan pastri ringan yang lebih moden, juga dibuat daripada putih telur dan serbuk badam. Selain itu, macaron disediakan bersama inti jam ataupun krim berperisa. Jadi lepas ni kena sebut betul-betul samaada anda nak maksudkan Macaron ataupun Macaroon okay?
Tadaaa! Di sini ada beberapa tempat dan lokasi kafe cadangan yang patut anda lawati untuk rasakan sendiri macaron perancis yang paling ‘trendy’ dan sedap di sekitar Lembah Klang! Jika anda impikan macarons indah jenama Ladurée yang manakjubkan, di Malaysia juga kita ada macarons yang setanding Ladurée.
1. UnionJac @ POP Jaya One
Terletak di Jaya One, Kafe POP terkenal dengan hidangan macarons mereka yang anda mesti cuba apabila anda singgah kesini. Terdapat beberapa pilihan perisa macarons yang boleh anda perolehi di kafe POP ini seperti perisa biji chia, earl grey, kacang pistachio, malahan juga perisa Durian Musang King. Anda mesti cuba dahulu Macarons disini baru anda boleh nilai tahap kesedapannya!
2. The Cream & Fudge Factory @ NU Sentral, KL Sentral
Anda mahukan sesuatu kelainan. Kunjungilah The Cream & Fudge Factory! Disini, mereka mempunyai sandwich aiskrim yang dibuat menggunakan cengkerang macarons yang rangup berintikan aiskrim yang halus teksturnya. Nampak sungguh menyelerakan! Sekali cuba, anda pasti nak lagi.
3. Milkcow @ Pavilion & various Shopping Malls
Lain pula dengan Milkcow. Jenama yang berasal daripada Korea ini mempunyai aiskrim yang paling sedap dan berkrim diabad ini! Walaupun jenama Milkcow ini mengutamakan hidangan aiskrim mereka, dalam pada masa yang sama, mereka juga ada menghasilkan macarons. Mempunyai seleksi pilihan macarons yang pelbagai dan boleh dinikmati bersama aiskrim mereka yang terkenal itu. Antara pilihan perisa macarons yang ada adalah seperti Nutella, bertih jangung masin (salted popcorn), karamel masin dan banyak lagi! Kalau anda memang gilakan pencuci mulut, anda mempunyai alasan yang kukuh untuk datang ke sini.
4. Whisk @ Empire Subang
Sebuah kafe yang nyaman dan selesa, suasana yang amat sesuai untuk merehatkan minda dan tenangkan diri. Kafe ini pada asalnya terkenal dengan kek red velvet mereka yang yummy! Tetapi kali ini, dengar khabar macarons mereka tidak kurang hebatnya! Seleksi pilihan perisa macarons boleh dilakukan berdasarkan pilihan harian yang terdapat di kafe. Antaranya, perisa red velvet, kaya pandan dan kopi. Macarons yang dibuat oleh mereka sungguh halus, lembut dan telah dibakar dengan sempurna. Ada patut cuba sendiri! Pasti rasa macarons yang sedap itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata!
5. Pierre Ledent @ Jason’s Food Hall, Bangsar Shopping Center
Diterbangkan dari Belgium, ini mungkin adalah macarons yang paling mahal di daerah lembah Klang tetapi ianya tetap berbaloi dengan rasanya yang lazat! Seperti yang kita tahu, bumi Belgium sangat terkenal dengan Coklat buatan mereka, oleh itu, rangkaian macarons dari Pierre Ledent ini terkenal dengan perisa coklatnya. Lantas, di sini juga terdapat macarons perisa buah strawberi dan karamel masin. Setiap gigitan adalah eksklusif!
6. Shakespeare Boulangerie & Patisserie @ Subang SS15
Terletak di daerah bandar Subang yang paling sibuk, ini adalah satu-satunya kafe yang menyediakan makanan yang lazat. Aroma kopi dan bau kuih-muih pastri yang mengiurkan bagai mengalu-alukan kedatangan pelanggan sebaik masuk ke pintu kafe ini. Terdapat beberapa perisa macarons menarik di kafe ini termasuk Macchiato (kopi) dan perisa Fruit De La Passion & Mango ( buah markisa & mangga bersama coklat putih). Rasa yang sungguh mewah dan istimewa!
7. TWG Tea @ Pavillion KL & Various Shopping Mall
Selain daripada terkenal untuk memberi perkhidmatan minum petang atau high tea yang bertaraf kelas pertama. TWG Tea juga mempunyai rangkaian macarons mereka sendiri. Resepi macarons diinspirasikan daripada rangkaian teh mereka sendiri, tampak unik dan sedap rasanya. Cubalah datang kemari untuk menikmati macarons bersama sentuhan perisa teh.
8. Oh Scooter Cafe @ Subang USJ
Di kafe ini, mereka menyediakan macarons berbentuk skuter! Sungguh comel sampai rasa sayang nak makan! Kalau anda nak buat majlis hari jadi atau mengadakan parti kecil-kecilan untuk rakan kenalan anda, pasti lebih meriah dengan hidangan macarons yang berbentuk skuter ini. Terdapat 5 perisa macarons yang berbeza termasuklah earl grey, mangga, coklat pisang, karamel masin bersama epal dan perisa bunga ros. Mmm, macam mana pula rasa macarons berperisa ros ya? Ha, kalau nak tahu, cubalah sendiri!
9. Les Deux Garcons Patisserie @ Bangsar
Terletak di Jalan Telawi, anda mungkin telah perasan kedai pastri ini. Terkenal dengan seni membuat manisan yang sedap-sedap belaka, macarons mereka adalah diantara manisan yang mendapat perhatian ramai pelanggan. Kerangupan cengkerang macarons dan intinya yang sungguh menawan itu menambat hati sesiapa yang makan. Kebanyakan bahan-bahan premium bagi membuat macarons berkenaan juga diimport khas dari Perancis dan Itali. Jadi lain kali, bila anda nak singgah di Les Deux Garcons Patisserie, pastikan anda tiba pada awal masa sebelum semua macarons telah habis dijual!
10. Negative Celcius @ PV128 Setapak
Trak makanan yang menjadi tumpuan pengunjung saban hari, Negative Celcius mempunyai keunikan sendiri dimana mereka juga menjaja macarons disamping aiskrim. Warna cengkerang macarons yang menarik serta meriah itu membuatkan ramai pelanggan jatuh cinta pandang pertama! Rasanya juga hebat, dihias pula dengan ‘topping’ taburan yang pelbagai! Keenakan aiskrim yang diapit oleh cengkerang macarons rangup membuatkan seseorang yang sedang menikmati sandwich aiskrim itu seolah berada di dalam syurga!