Aksesori lazimnya dianggap sebagai teman baik seseorang wanita. Pemakaian aksesori yang berpadanan juga dapat mengubah gaya penampilan seseorang. Jelas kelihatan, terdapat pelbagai pilihan aksesori di pasaran kini.
Ada jenis orang yang tidak kisahkan jenama ketika membeli belah barangan aksesori, apa yang dilihatnya cantik, dia pasti akan membelinya lebih-lebih lagi jika harganya jauh lebih murah! Melabur wang semata-mata keatas aksesori seperti gelang, cincin, rantai ataupun anting-anting kedengaran tidak berbaloi pada sesetengah individu.
“Kualiti tak penting, asalkan nampak cantik dan murah.” Betul tak?
Namun ada satu masalah yang akan muncul apabila seseorang memakai aksesori yang murah (faux jewelry). Ini kerana, aksesori murah yang selalunya dibuat daripada besi keluli biasa seperti perak dan tembaga agak senang terjejas. Warnanya cepat pudar dan lama-kelamaan akan bertukar menjadi hijau.
Antara sebab-sebab mengapa aksesori anda pudar adalah kerana asid yang ada pada permukaan kulit anda contohnya seperti peluh dan losyen yang anda gunakan itu telah bertindak balas dengan aksesori yang anda pakai membuatkan ia berkarat.
Meskipun begitu, ada satu cara yang paling mudah untuk anda lakukan bagi memelihara rupa dan kualiti aksesori kesayangan anda itu. Caranya, anda cuma perlukan pewarna kuku jernih dan salutkan ia disekeliling aksesori anda. Pastikan ia telah benar-benar kering sebelum dipakai.
Selang beberapa minggu kemudian, cuba salutkan kembali aksesori anda tersebut dengan pewarna kuku jernih itu semula agar lapisan perlindungan hasil salutan itu tadi tidak terhakis dari masa ke masa.
Cara ini juga bisa digunakan ke atas barangan aksesori yang mempunyai batu permata agar batu permata yang ada pada aksesori tidak gugur dan mudah tertanggal. Salutkan ia dengan pewarna kuku yang jernih. Pada masa yang sama, anda akan dapati aksesori batu permata anda kelihatan lebih berkilau disamping ia terpelihara daripada gugur dan mudah tertanggal.
Selamat Mencuba!