Susulan dua kes wabak anjing gila atau Rabies yang dilaporkan telah menjangkiti seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dan seorang dewasa berusia 44 tahun di Seberang Prai dan Balik Pulau, kerajaan negeri dikatakan telah memberi lampu hijau kepada pihat Jabatan Veterinar untuk menangkap dan memusnahkan semua anjing-anjing liar yang berkeliaran di negeri tersebut.
Penulis pasti ada yang masih belum mengetahui akan penyakit rabies ataupun disebut penyakit anjing gila ini. Info di bawah ini sedikit sebanyak dapat membantu anda malah menambahkan pengetahuan anda tentangnya.
Penyakit Rabies atau penyakit anjing gila adalah penyakit haiwan yang berjangkit yang disebakan oleh virus dan boleh menyerang haiwan berdarah panas dan manusia.
Pada haiwan yang menderita Rabies, virus dijumpai dengan jumlah banyak pada air liurnya. Virus ini akan disebarkan ke haiwan lain atau ke manusia terutama melalui luka gigitan. Oleh kerana itu haiwan karnivor seperti anjing, kucing, serigala adalah haiwan yang paling utama sebagai penyebar Rabies.
Rabies adalah jangkitan virus akut. Rabies terdapat dalam haiwan di kebanyakan negara di seluruh dunia. Kebanyakan kes jangkitan manusia berlaku di negara-negara membangun.
Cara jangkitan: Virus rabies terdapat dalam air liur haiwan dan boleh di jangkiti melalui gigitan atau sebarang kejadian yang menembusi kulit seperti jilatan haiwan di tempat luka.
Tempoh pengeraman: 3 hingga 8 minggu, seawal-awalnya 9 hari atau selewat-lewatnya 7 tahun.
Di kawasan yang biasa terdapat jangkitan rabies (kawasan endemik), pelawat berisiko mendapat jangkitan jika berhubung kait dengan haiwan liar atau haiwan peliharaan termasuk anjing dan kucing.
Tanda dan Gejala
Rabies adalah sejenis penyakit akut yang menyebabkan radang (inflamasi) pada otak dan korda spina (ensefalomielitis)
Tanda-tanda awal termasuk rasa bimbang, sakit kepala, demam, lesu dan perubahan deria di sekitar tempat gigitan. Mudah terangsang, berhalusinasi dan berasa takut pada tiupan angin (aerophobia). Sesetengahnya berasa gerun atau bencikan air (hidrofobia) disebabkan kekejangan otot kerongkong yang sakit ketika menelan. Pada peringkat seterusnya, pesakit menjadi celaru, mengalami sawan sehingga boleh membawa maut.
Jenis rabies yang dinamakan paralytic rabies (sawan lumpuh) mempunyai tanda dan gejala seperti kehilangan deria, lemah badan, badan berasa sakit dan lumpuh.
Rawatan
Rawatan selepas terkena gigitan bertujuan untuk mengelakkan jangkitan rabies. Rawat luka dengan segera, basuh luka dengan sabun dan air atau air sahaja. Selepas itu, sapukan etanol (70%) atau tinktur atau larutan iodin akueus atau iodin povidon.
Rawatan khusus
Antirabies Imunoglobulin (RIG) disapukan pada tempat luka dan tisu di sekitarnya. Beberapa dos vaksin disuntik ke dalam kulit atau ke dalam otot (bergantung kepada jenis vaksin yang digunakan). Dos pertama mesti diberikan seawal mungkin selepas terkena gigitan dan dos terakhir dalam tempoh 28 hari sekiranya disuntik ke dalam otot atau 90 hari sekiranya disuntik ke dalam kulit.
- Pencegahan tetanus dan rawatan anti-bakteria (jika diperlukan)
- Elakkan menjahit atau menutup luka (kecuali jika tidak dapat dielakkan)
Langkah berjaga-jaga
Elakkan memegang haiwan liar dan haiwan peliharaan yang sesat terutamanya anjing dan kucing di kawasan endemik.
Jika seseorang digigit oleh haiwan yang mungkin dijangkiti rabies atau berhubung kait dengan seseorang yang disyaki menghidap rabies, segera bersihkan luka dengan sabun dan air. Selain itu, segera dapatkan rawatan doktor.