Seorang pemilik rumah yang baru pulang bekerja terkejut sejurus melihat sepasang kaki manusia terjuntai di siling kediamannya.
Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, mangsa berusia 40-an akhirnya menyedari kaki itu adalah milik pencuri yang memecah masuk rumahnya di Wangsa Melawati di sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sarif berkata, mangsa ketika itu baru saja pulang daripada bekerja sebelum membuka pintu kediamannya.
“Bagaimanapun sebaik berada di ruang tamu rumahnya, mangsa terkejut apabila melihat kaki manusia dari paras pinggang memanjat keluar melalui siling.
“Mangsa yang terkejut terus menjerit meminta tolong daripada beberapa jiran menyebabkan suspek panik dan melarikan diri,” katanya.
Mohd Roy berkata, suspek bagaimanapun sempat membawa lari komputer riba dan pelbagai barangan berharga milik mangsa dianggarkan bernilai lebih RM3,000.
Menurutnya, hasil siasatan awal polis mendapati suspek memecah masuk kediaman itu melalui bahagian bumbung dengan menanggalkan kepingan atap genting.
“Suspek dipercayai bergerak bersendirian dan operasi memburunya masih giat dijalankan,”katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian ini boleh menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Katanya, orang awam juga dinasihati berhati-hati dan melaporkan kepada polis sekiranya ternampak individu mencurigakan di kawasan perumahan mereka.
“Polis juga akan mempertingkatkan rondaan bagi mencegah jenayah dan mengesan suspek,” tegasnya.