Seramai 11 suspek lelaki sudah ditahan polis sehingga kini berhubung kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais yang ditemui mati ditanam dalam tong dram di Subang Jaya, Selangor, 16 September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, salah seorang suspek yang dikehendaki polis berhubung kes itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul jam 4.15 petang semalam.
Menurutnya, suspek berusia 20-an itu akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.
“Enam daripada 11 suspek yang ditahan disambung tempoh reman tujuh hari lagi sehingga 28 September depan selepas Mahkamah Majistret Jalan Duta di sini, membenarkan permohonan,” katanya.
Beliau berkata, susulan pengesahan ujian DNA ahli keluarga mendiang dijangka menuntut mayat mangsa di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini untuk urusan pengebumian.