Tahun 2015 kian malabuhkan tirai dan lembaran baru pula bakal menjelma yang pastinya memberi seribu satu detik diluar jangkaan. Bagi dunia fesyen, setiap tahun akan diserikan dengan pelbagai rekaan baharu. Perubahan demi perubahan berlaku pantas seiring dengan peredaran trend masa kini yang manjangkau ekspektasi.
Burberry London baru-baru ini telah melancarkan koleksi Functionregelia untuk musim Bunga/Panas 2016. Setiap rekaan yang dipaparkan di atas pentas peragaan boleh dikatakan berkarisma. Sesuai dengan konsep yang cuba ditonjolkan, Burberry kali ini cuba tampilkan gaya eksklusif minimalis.
Turut serta memeriahkan majlis adalah penyanyi British tersohor, Alison Moyet yang mendendangkan beberapa buah lagu antaranya “All Cried Out”, “when I was Your Girl”, “Whispering Your Name”, dan “Only You” bagi mengiringi pertunjukan fesyen Burberry musim Bunga/Panas 2016 itu.
Dari segi seleksi warna koleksi pula, rata-rata warna yang dipilih adalah monokrom iaitu hitam dan putih dan sebahagian yang lainnya berinspirasikan rona ceria kusam musim bunga dan panas seperti hijau, kuning mustard, emas, merah jambu pastel, coklat lusuh dan krim. Kebanyakan rekaannya adalah begitu estatik di dalam menyampaikan perasaan harmoni.
Selain itu, material dan fabrik yang bercirikan regalia (simbol diraja) digunakan bagi menyisipkan gaya lebih mewah di dalam koleksi berkenaan. Tidak ketinggalan perincian seperti tali pintal, kain pemangkasan metalik, butang crested vintaj dan motif tentera sulaman tangan turut disertakan bagi menghiasi setiap rekaan agar kelihatan unik.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Functionregalia Koleksi Burberry Musim Bunga/Panas 2016, sila my.burberry.com.