Selain merupakan pelindung untuk kaki manusia, kasut juga adalah pelengkap gaya yang akan mempengaruhi transformasi gaya seseorang.
Memecah trend fesyen masa kini, Melissa merupakan jenama kasut ikonik yang megah berpangkalan di Sao Paolo, Brazil sejak 1971.
Baru-baru ini, jenama kasut berkenaan yang terkenal dengan gaya ranggi dan funky itu telah mengambil peluang keemasan untuk bekerjasama dengan 21 orang pereka fesyen terkemuka di London termasuklah Agi and Sam, Alex Mullens, Atsuko Kudo, Cassette Playa, Charles Jeffery, Clio Peppiatt, Craig Green, Ed Marler, Emilio de la Morena, serta ramai lagi.
Bersempena London Fashion Week (LFW) yang lepas, bertempat di Galeria Perdana London, Melissa x Rollacoaster menganjurkan pameran yang telah menampilkan rekaan kasut daripada 21 bakat pereka termasyur London hasil kolaborasi bersama jenama Melissa.
Tidak ketinggalan, para pereka juga berpeluang untuk menata hias kembali kasut rekaan asal Melissa dengan idea berpandukan gaya signature mereka yang tersendiri. Dengan itu, semua hasil rekaan yang diubahsuai mengikut cita rasa para pereka telah berjaya dipamerkan di kedai konsep dari 18 September hingga 27 September 2015 yang lalu.
Melissa menganggap kasut bukan sekadar perhiasan kaki semata-mata, malah ia memiliki nilai seni, budaya, fesyen dan rekaan yang tersendiri.
Hanya bermodalkan material plastik yang digelar MELFLEX, kasut rekaan Melissa memiliki gaya estetik yang unik dimana MELFLEX sendiri mempunyai kualiti dan fleksibiliti yang serupa dengan PVC. Selain memberi keselesaan berpanjangan kepada si pemakai, material itu juga bebas bau, tidak menimbulkan alahan malah, 100% mesra alam.
Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan Melissa, sila layari www.melissa.com.