Sebagai salah sebuah gedung pusat membeli-belah yang berprestij di Singapura, The Shoppes di Marina Bay Sands kini menambah seleksi butik pakaian berjenama untuk kanak-kanak selain Baby Dior dan Fendi Kids yang telah sedia ada sebelum yang terbaru, Dolce&Gabbana Junior.
Buat pertama kalinya, Dolce&Gabbana Junior menyertai pasaran Singapura sebagai salah satu penyumbang aset kepada gedung berkenaan demi memberi lebih banyak pilihan pakaian bergaya dan mewah kepada para pelanggannya.
Berkeluasan lebih dari 1,400 kaki persegi, butik baru itu juga telah dihiasi dengan kemasan mutiara selain dilengkapi dengan perabot bingkai kayu bervarnis untuk menyerikan dan mewujudkan suasana membeli-belah yang lebih selesa serta menenangkan kepada para pelawat.
Koleksi pakaian yang ditawarkan adalah begitu menyerlah disamping kepelbagaian gaya dan rekaan yang ditawarkan pasti menambat hati termasuk koleksi sedia dipakai untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan, tidak lupa juga untuk si cilik yang berumur 0-8 tahun.
Akan datang pada bulan Disember, jenama Armani Junior dan Bonpoint pula bakal memasuki pasaran The Shoppes membuka lebih banyak peluang perniagaan yang akan terus berkembang dalam membina empayar Marina Bay Sands yang lebih kukuh.
Selain koleksi pakaian kanak-kanak, jenama pereka seperti Loro Piana, Ted Baker, Micheal Kors dan Valentino terbesar di Singapura juga bakal dibuka menjelang suku keempat tahun 2015 menyertai gedung The Shoppes.
Tidak ketinggalan pada bulan November ini, The Shoppes juga akan melancarkan satu promosi yang digelar Click & Collect yang membolehkan para pelanggan untuk mendapatkan bag tangan berjenama edisi terhad keluaran Julai merangkumi jenama seperti CH Carolina Herrera, Maje dan Sandro.
Ia dapat dilakukan melalui servis platform digital yang disediakan oleh pihak The Shoppes dimana sesiapa sahaja bisa membuat tempahan keatas beg tangan edisi terhad idaman mereka melalui website yang disediakan sepanjang tempoh 48 jam sebelum mereka perlu menuntutnya di mana-mana butik berkenaan sekaligus membuat transaksi pembelian secara telus dan efisyen.
Untuk maklumat lanjut berkenaan syurga membeli-belah pakaian berjenama The Shoppes, Marina Bay Sands Singapore atau mengetahui sebarang promosi yang sedang atau bakal dibawakan kepada umum, sila layari www.MarinaBaySands.com.