Penyanyi hebat, Adele yang popular menerusi lagu Someone Like You tampil dengan buah tangan baru yang dinanti-nantikan peminatnya selama ini.
3 tahun mendiamkan diri, penyanyi berusia 27 tahun itu bakal menampilkan album terbaru berjudul ’25’ yang berkisarkan tentang cabaran meningkat ke usia dewasa.
Adele juga turut mendedahkan sedikit perincian tentang album yang dinanti-nantikan itu, beliau menyatakan hari jadinya yang ke-25 merupakan titik perubahan dalam kehidupannya.
Album ’25’ ini merupakan album ketiganya semenjak dia bergelar artis dan sebelum ini Adele juga pernah menghasilkan album berjudul ’19’ dan ’21’ yang merujuk kepada usianya ketika itu.
Penghasilan album ’21’ sebelum ini memperlihatkan satu kejayaan hebat bagi penyanyi itu selepas merangkul anugerah Grammy bagi Album Terbaik pada tahun 2012, dan kekal sebagai album paling laris di Amerika Syarikat untuk dua tahun berturut-turut.
Kini, single terbaru yang berjudul Hello yang diselitkan dalam album ’25’ itu dipercayai bakal menambat hati peminatnya semula.