Burberry, sebuah jenama fesyen berprestij yang sentiasa melangkah kehadapan dengan mengemas kini jenamanya untuk berjalan seiring dengan dunia yang serba moden ini.
Meskipun jenamanya telah mekar sejak tahun 1856, talian fesyen British itu masih mahu merasa dekat dengan para pengikut serta golongan “information society”. Oleh itu, selepas mendapat nama untuk mempunyai saluran Apple Music sendiri yang disenarai dibawah tetapan “Curator Playlist” sebagai medium perkongsian lagu-lagu latar yang dimainkan sepanjang waktu pertunjukan fesyennya bersama umum, Burberry sekali lagi mengegarkan arena fesyen dengan mencipta kempen iklan secara langsung melalui Snapchat pula.
Jurugambar antarabangsa, Mario Testino antaranya yang menjadi tulang belakang bagi menjayakan kempen baharu oleh Burberry ini. Beliau memegang peranan untuk merakam setiap detik penggambaran jenama Burberry yang paling terkini sebagai sebahagian daripada “Empheral Ad Campaign” atau sebuah kempen iklan yang tidak kekal bersifat sementara melalui Snapchat.
Buat masa ini, Burberry adalah satu-satunya jenama yang membuat penggambaran dan terus menerbitkan ia secara langsung sebagai kempen iklan menerusi aplikasi sosial berkenaan.
Memaparkan rangkaian pakaian Burberry musim Bunga/Panas 2016 selain mengetengahkan paparan koleksi rekaan Functionregalia yang baru sahaja dilancarkan pada September lalu, iklan dan foto-foto yang dirakam itu hanya akan kekal dan boleh dilihat orang ramai untuk jangka masa selama 24 jam sahaja melalui akaun Snapchat milik Burberry @Burberry dan Mario Testino @mariotestino. Semua rakaman gambar, video belakang tabir serta detik sesi penggambaran dilakukan secara langsung dari lokasi penggambaran.
Beralih daripada cengkaman media tradisional yang berasaskan media cetak semata-mata, Burberry memainkan peranan sebagai “trendsetter” untuk menerapkan ciri inovasi sebagai siri pendigitalan jenama mereka, selain pernah terlibat dengan Snapchat Show, saluran dedikasi Apple Music, servis transaksi pembelian dan siaran langsung melalui LINE Jepun dan Kakao Korea sebelum ini.
Jelas Mario Testino, ini bukanlah kali yang pertama dia bertugas dan berkolaborasi bagi menjayakan kempen iklan Burberry. “Dengan bimbingan dan kerjasama pengarah kreatif Cristopher Bailey, kempen melalui Snapchat ini akan lebih mudah untuk sampai kepada para pengikut Burberry dan peminat fesyen dari seluruh dunia dengan membuka peluang baru bagi menjalankan penggambaran fesyen dan perkongsian bahan kandungan secara telus serta efisyen.”
Untuk makluman anda, kempen iklan penuh untuk koleksi musim Bunga/Panas Burberry boleh mula dilihat melalui platform media global yang lain mulai 6 Januari 2016 nanti, termasuk media cetak, Burberry.com, Facebook, Youtube, Twitter, Google+, Linkedln, Instagram, Sina Weibo, Youku, WeChat, LINE dan Kakao.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.burberry.com