Malam sebelumnya anda leka menonton drama, leka berchit-chat, leka membandingkan muka perempuan cantik di Instagram, leka meluahkan perasaan di Twitter, kemain kau ye… Sedar-sedar! Dah pukul 2 pagi. Esok nak bangun pukul berapa lah agaknya?
Sah-sah lah anda akan menjadi liat hendak bangun pagi keesokannya. Lepas tu, mulalah nak kelam-kabut.
Mengerti, perbuatan bangun pagi itu merupakan satu subjek yang rumit, siapa sahaja yang suka bergegas dan bersiap dalam keadaan last minute?
Jika anda adalah seorang yang suka melambat-lambatkan sesuatu pekerjaan dan suka menangguh, SELAMAT DATANG! Kerana kami akan hidangkan kepada anda beberapa tips genius, bagaimana anda boleh bersiap dalam kadar masa sekelip mata diwaktu pagi tanpa mengambil masa yang panjang!
Jeng jeng jeng!
#1 Mandi di malam sebelumnya
Nampak gaya macam pemalas sungguh siapa yang guna cara ini, tetapi, mandi di malam sebelumnya bisa menyelamatkan anda daripada membazirkan waktu pagi keesokannya. Percayalah. Jika rambut anda jenis yang cepat berminyak, ada baiknya jika anda menggunakan syampu kering yang berbentuk semburan (dry shampoo) bagi menyerap lembapan minyak yang terdapat pada akar helaian rambut anda!
#2 Gunakan pancuran mandi sebagai pengewap
Hah! Jimatkan masa untuk mengosok pakaian kerja anda. Gantungkan sahaja setiap helaian pakaian yang anda rancang untuk pakai esok di dalam kamar mandi sewaktu anda sedang mandi air panas. Wap panas berfungsi untuk menyahkan kedutan pada pakaian serta-merta.
#3 Selaraskan bag anda dengan penggunaan kantung mudah alih
Jika anda seorang fashionista yang gemar bertukar beg tangan setiap hari mengikut kesesuaian warna baju atau jenis pakaian, cuba satukan barang-barang keperluan penting di dalam satu kantung kecil (pouch). Ini akan memudahkan process penukaran tas tangan anda dengan hanya perlu memindahkan pouch tersebut dari satu beg, ke satu beg yang lain. Jadi, tak perlu lah anda menyelongkar beg anda lagi! Fabulous!
#4 Gantungkan baju mengikut pasangannya
Lazimnya, kita akan membazirkan masa hanya untuk memilih pakaian dan merenung bingung di hadapan almari baju. Berfikir panjang, baju apakah yang sesuai dan mahu dipakai? Bagaimana harus kita suai padan pakaian? Mulalah segala macam persoalan yang timbul. Oleh itu, untuk memudahkan, sila gantung pakaian anda yang sudah pun disuai padankan bersama pada hangers. Bila nak pakai, ambil je. Tak perlu pening dan susah-susah pilih seluar yang mana, baju yang mana, tudung yang mana.
#5 Pakaian ‘sarung’ adalah efisyen
Jika anda terbangun lewat pada waktu pagi, carilah sesuatu yang lebih mudah untuk disarung. Mungkin anda boleh gayakan sehelai dress, romper atau jumpsuit. Pakaian jenis ‘langsung’ ini tidak memerlukan padanan yang berlebihan. Cukup sekadar untuk gaya yang ringkas dan bersahaja tetapi masih lagi kelihatan cantik.
#6 Simpan aksesori dan barang kemas anda secara teratur
Kunci untuk mengurangkan masa bersiap anda adalah dengan menyediakan ruang simpanan yang tersusun. Jangan bazirkan waktu pagi untuk meluruskan rantai anda yang berbelit diantara satu dan lain atau menyelongkar kumpulan gelang yang berserabut. Untuk itu, cubalah hasilkan sendiri penggantung DIY atau aturan aksesori seperti di dalam gambar!
#7 Akhir sekali barulah memakai baju
Yang ini mungkin kedengaran tidak masuk akal. Tetapi anda tentu akan terkejut melihat keberkesanan cara ini untuk menjimatkan masa bersiap anda selain memelihara kondisi pakaian baru anda itu. Jika terlalu awal anda mengenakan pakaian, mana tahu kalau-kalau nanti sisa makanan sarapan anda akan tertumpah ke baju? Satu hal pula nak menukarnya kan… Jaga-jaga.
Selamat Mencuba!