Penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza, 36, berkata, belum tiba masanya dia berkongsi berita kehamilan seperti yang tersebar di laman sosial semalam.
Siti mengakui terkejut mendengar khabar angin berkenaan.
“Saya sudah biasa dengan berita sebegini. Apabila ia sekali lagi diperkatakan, memang terkejut juga. Malah anak Datuk K pun cakap dia tak bercerita apa-apa.
“Saya janji kalau ada berita baik saya akan kongsi. Jadi sama-sama doakan semoga saya dikurniakan cahaya mata,” katanya kepada Harian Metro malam tadi.
Tambah Siti lagi, jika perkara itu adalah doa yang baik, diharap menjadi kenyataan.
Berita Siti dikatakan hamil sekali lagi menjadi bualan selepas penyanyi lagu Bukan Cinta Biasa itu memuat naik gambar segelas susu kambing dan sebiji kurma di akaun Instagram miliknya.
“Sebelum ini saya selalu juga muat naik gambar sama. Tapi tak sangka pula gambar itu menimbulkan tanda tanya ramai,” katanya.
Siti dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006.