Kurang dua minggu dari sekarang, pelakon dan pengacara Fouziah Gous, 32, dijangka melahirkan anak sulung hasil perkahwinan dengan Md Zhafran Md Yusof, 32.
Keterujaan bergelar ibu bapa jelas terpancar di wajah pasangan ini apatah lagi ia pengalaman pertama mereka selepas hampir dua tahun menanti.
“Alhamdulillah, kandungan saya sudah mencecah 37 minggu. Kiranya saya menghitung hari untuk bersalin. Buat masa sekarang, saya lebih bersedia dari segi mental.
“Saya tak nak fikir soal takut. Saya mahu menikmati saat-saat kehamilan ini dengan gembira. Paling penting adalah dalaman,” katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran di rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.
Sama seperti wanita hamil lain, Fouziah seboleh-bolehnya mahu bersalin secara normal.
Malah sebagai persediaan ke arah itu, pelakon drama Karma ini mengambil kelas senaman khas sejak usia kandungannya lapan bulan.
“Kelas yang diajar lebih kepada teknik senaman bagi memudahkan pernafasan ketika nak bersalin nanti. Jika tak ke kelas itu pun, saya banyakkan berjalan.
“Ada segelintir wanita malas nak buat semua itu, tetapi saya sangat aktif. Selagi saya masih mampu tak salah melakukannya,” katanya.
Tidak sekadar itu, pelakon filem Sifu & Tongga ini juga masih bekerja dengan menjalani penggambaran program Nona.
“Tak semestinya apabila mengandung kena berhenti atau berehat dari bekerja. Bagi diri sendiri, saya tak boleh malas. Lagipun, kontrak mengacara saya selama setahun dengan mereka. Jadi saya perlu habiskan.
“Syukur apabila saya diberi kekuatan dan kesihatan untuk meneruskan semua penggambaran. Malah suami dan keluarga pun tak menghalang. Lagipun, penggambaran hanya seminggu sekali,” katanya yang berbaki satu lagi episod untuk dirakam bagi musim 2015.
Sepanjang kehamilan ini juga, Fouziah tidak mengidam perkara pelik sebaliknya mahu lebih dimanjakan.
“Saya sangat gembira sepanjang mengandung. Selera makan pun okey dan tak pernah lagi mengidam nak makan sesuatu tapi tak dapat.
“Paling menyeronokkan apabila semua orang sekeliling bertambah sayang pada saya. Saya pun ambil kesempatan untuk bermanja lebih,” katanya.
Berkenaan perancangannya selepas bersalin, kata Fouziah dia akan berpantang secara tradisional selama 44 hari.
“Insya-Allah kalau semuanya okey selepas berpantang nanti, saya akan teruskan bekerja. Belum boleh disahkan sama ada saya akan terus bersama Nona atau tak,” katanya.
Memandangkan berat badannya kini naik sehingga 12 kilogram, Fouziah yakin boleh mendapatkan semula berat asal selepas habis berpatang.
Ditanya jantina anak dikandungkan, Fouziah belum mahu berkongsi kerana mahu memberi kejutan kepada semua ahli keluarga.
“Saya dan suami belum mahu kongsi dulu. Kalau nak tahu, kami turut rahsiakan perkara ini daripada pengetahuan ahli keluarga. Biarlah mereka saling berteka-teki.
“Kami tak kisah anak sulung ini lelaki atau perempuan, asal saja ia sihat, sempurna dan cukup sifat apabila dilahirkan kelak. Jadi doakan semoga semuanya dipermudahkan,” katanya.