Wah baru berumur setahun, Aisyah Dhia Rana dibayar dengan harga mencecah belasan ribu ringgit untuk muncul dalam penggambaran drama di saluran TV3.
“Bayaran untuk komitmen 11 hari yang dia dapat itu melebihi bayaran pelakon pembantu yang menerima anugerah. Itu saja saya boleh cakap,” kata ibunya, aktres popular Rozita Che Wan.
Rozita, 42, juga dikenali Che Ta berkata, tawaran itu dianggapnya sebagai rezeki dan bukan bertujuan untuk mengeksploitasi anak sendiri.
“Kira pakejlah gayanya kalau orang nak cakap kami anak beranak berlakon. Tak apalah, orang nak cakap apa…itu terpulang. Ini semua soal rezeki. Sebelum ini apa sahaja yang membabitkan saya selalu dipersoalkan dan menjadi kontroversi. Saya tak boleh nak tutup mulut orang dan kalau dilayan memang tidak pernah berakhir,” katanya lagi.
Katanya, lokasi penggambaran dijadualkan di sekitar Kuala Lumpur dan Perlis, manakala suaminya Zain Saidin, 31, juga turut serta dalam pembikinan drama itu sebagai pelakon undangan.