Pada 14 November yang lepas, bertempat di IGB International School, seramai 650 orang pelajar merangkumi kaum belia dari sekitar daerah Kuala Lumpur menyertai acara larian sejauh 12,839 kilometer dalam masa 24 jam. Jarak larian berkenaan adalah menyamai jarak sebenar perjalanan dari Kuala Lumpur hingga ke Kanada.
The 24 Hour Race adalah acara larian yang dianjurkan bertujuan membanteras gejala perdagangan manusia oleh Running To Stop The Traffik (RTST) dengan mengajak belia muda turut serta membantah dan memerangi perlakuan negatif itu dalam kalangan masyarakat dunia.
Acara larian gilang-gemilang ini melibatkan 69 pasukan larian yang juga mewakili 20 sekolah tempatan dan antarabangsa sekitar bandar Kuala Lumpur. Dalam waktu yang sama, ia telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM133,000 (HKD 200,000).
The 24 Hour Race adalah acara lumba lari terbesar yang melibatkan penyertaan dari dalam kalangan warga belia di Asia. Disamping memberi kesedaran kepada orang ramai, acara sebegini mampu menerapkan nilai moral yang positif dalam diri para peserta secara tidak langsung.
Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Tahun ini penerima manfaat atau beneficiaries adalah SUKA Society dari Malaysia dan Circus Kathmandu dari Nepal.
Pengarah Eksekutif 24 Hour Race Kuala Lumpur, Cindy Leow berkata, “Acara lumba lari di Malaysia ini adalah suatu kejayaan yang sangat besar! Kami mahu memanjangkan apresiasi kepada semua para peserta yang terlibat. Nilai kesedaran yang telah mereka perolehi untuk diri sendiri, demi memajukan komuniti sejagat adalah sesuatu yang begitu berharga. Aktiviti perdagangan manusia seharusnya ditegah dan diberhentikan serta-merta! Oleh itu, kami berharap perlumbaan seumpamanya akan kekal memberangsangkan dan terus mendapat sokongan di masa hadapan.”
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.24hourrace.org dan jika anda berminat untuk menyumbangkan dana, anda boleh berbuat demikian menerusi www.justgiving.com