Telah tiba masanya, Burberry yang sering menampilkan muka-muka glamor supermodelnya sebagai elemen tarikan yang sensual bagi menggayakan koleksinya setiap musim kini baru sahaja melancarkan kempen untuk Musim Bunga/Panas 2016!
Menampilkan muka-muka bakat baru kelahiran British termasuk Dylan Brosnan, Ruth dan May Bell.
Kempen ini mengandungi 40 imej unik yang mengetengahkan koleksi sedia dipakai (ready-to-wear) dan koleksi aksesori. Ini termasuk Trench Coat warisan England buatan tangan, skarf tenunan Scottish, poncho dan beg edisi terkini. Seperti biasa, sesi fotografi untuk Burberry dijayakan dengan sentuhan rakaman hebat oleh jurugambar profesional Mario Testino dibawah pemantauan Ketua Kreatif Burberry dan Ketua Pegawai Eksekutif Christopher Bailey.
Rupa paras sahaja tidak cukup untuk menggayakan jenama berprestij ini, oleh itu, kemunculan bakat-bakat baru sekitar London telah ditapis dan dialu-alukan oleh Burberry bagi menjayakan kempen barunya untuk koleksi Musim Bunga/Panas 2016 ini. Antara yang terlibat adalah adik-beradik Ruth dan May Bell, Bella Yentob, Hayett Belarbi McCarthy, Eliza Fairbanks, Misha Hart dan ramai lagi. Kesemua mereka mempunyai karakter yang cukup sempurna, berbakat serta penuh ghairah untuk menjadi muka Burberry tahun 2016.
Bukan itu sahaja, menjelang tahun baru ini juga, Burberry bakal membawakan suatu kejutan buat para pengikut serta peminat fesyen diseluruh dunia dengan memperkenalkan satu lagi daya tarikan ikon Burberry yang terkini iaitu -The Rucksack.
Rucksack Burberry telah menjadi perhatian dan buah mulut orang ramai yang melihatnya tatkala digayakan semasa majlis pameran dan peragaan koleksi Musim Bunga/Panas 2016 Burberry yang lepas. Gaya beg sandang yang eksentrik itu bisa menerapkan aura sensasi kepada si pemakai.
Jika anda berminat untuk memiliki Rucksack berkenaan, anda boleh membuat tempahan di Burberry.com bagi sesi penghantaran hujung tahun ini. Beg berkenaan bukan sahaja untuk wanita, Men’s Rucksack juga bakal mempelopori edaran fesyen Burberry untuk lelaki mulai Januari akan datang.
Pautan Video Kempen Musim Bunga/Panas 2016 Burberry
https://www.youtube.com/watch?v=1KD5f-RzQlM&feature=youtu.be
Untuk maklumat lanjut, sila layari my.burberry.com