Rico Rinaldi antara pereka fesyen muda berjiwa besar di Malaysia kini telah siap melancarkan Koleksi Pakaian Wanita 2016. Pertunjukan fesyen yang gemalai diceriakan dengan kehadiran para selebriti hangat tanah air serta wajah-wajah pencinta fesyen.
Sehubungan dengan pelancaran Koleksi Pakaian Wanita 2016, Rico memperkenalkan dua koleksi berasingan yang berkongsi tema koheran berasaskan alam.
Koleksi pakaian sedia dipakai (Ready-To-Wear) itu dilihat mengetengahkan inspirasi dari keindahan alam, memberi kejutan kepada para penonton yang hadir menyaksikan pertunjukan fesyen berkenaan. Motif floral serta rona warna terang menambah sisi rekaan sekaligus tampak lebih menonjol.
Manakala rekaan koleksi yang kedua pula lebih mempersona memperlihatkan model menggayakan persalianan pengantin berwarna putih bersih, mengetengahkan pula elemen burung yang mengikat koleksi berkenaan dengan sifat kebebasan.
Berikutan kedua-dua koleksi menarik Rico Rinaldi berkenaan, dapat dilihat jiwa pereka itu memang sudah sebati dengan keterujaannya dalam meraikan kebebasan dan alam semula jadi. Rico percaya setiap rekaan yang dilahirkan oleh idea beliau adalah didorong oleh faktor kecintaannya terhadap dunia alam semula jadi -mencabar dirinya untuk melihat kecantikan yang dipaparkan oleh alam itu sendiri.
Rico pernah dinobatkan sebagai juara Piala Seri Endon 2009, finalis Anugerah Pereka Muda Mercedes Benz Stylo 2009 dan memenangi kategori Anugerah Pereka Muda Terbaik pada acara Anugerah Pesona Tenun Berita Harian 2011.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ricorinaldi.com