Jenama fesyen berprestij, Marc Jacobs tidak pernah gagal untuk menampilkan keunggulan dalam kempen bagi mempromosikan koleksinya setiap musim.
Marc Jacobs bukan sahaja terkenal untuk koleksi pakaian serta aksesori beg tangan, kasut dan jam tangan, malah jenama itu cukup dikenali melalui koleksi rangkaian alat solek yang memukau serta menepati kemahuan pengguna yang meminati rangkaian alat solek pereka berjenama.
Setanding dengan jenama-jenama mewah yang lain, Marc Jacobs selalu peka untuk menghasilkan alat solek yang berkualiti, selain bisa mengikut aliran trend solekan masa kini yang lebih bold dan eksentrik.
Silih berganti, Marc Jacobs baharu sahaja menyunting aktress ikonik tahun 90-an Winona Ryder sebagai muka baru untuk kempen Marc Jacobs Beauty 2016.
Beruntungnya si jelita ini dek kerana memiliki raut wajah yang klasik biar pun usianya sudah mencecah 44 tahun, sesuai dengan tema Marc Jacobs Beauty kali ini yang mengetengahkan elemen retro.
Imej kempen Musim Bunga/Panas 2016 itu memperlihatkan Winona memakai solekan ala primadona hasil tangan jurusolek Diane Kendal menggunakan kesinambungan warna-warna hangat yang menjadi sisi utama untuk koleksi musim itu.
Kesemua rangkaian alat solek baharu Marc Jacobs Beauty akan mula dipasarkan di butik kecantikan Sephora seluruh dunia bermula Februari 2016 nanti.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.marcjacobsbeauty.com dan www.sephora.com.