Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata bakal penggantinya perlu memiliki kepakaran serta berpengetahuan luas dalam aspek bank dan persekitaran semasa.
“Sesiapa sahaja yang menyandang tugas itu perlu ada kepakaran.
“Keputusan itu dalam masa beberapa hari…ada lagi 38 hari, jadi anda perlulah bersabar,” katanya pada sidang media sempena pengumuman Laporan Tahunan BNM 2015 di sini, hari ini.
Beliau yang juga gabenor wanita pertama negara, menerajui BNM selama 16 tahun sebelum bersara April ini.
Zeti turut menyuarakan keyakinannya bank pusat itu akan terus berfungsi dengan baik selepas ketiadaannya nanti.
“Saya rasa, keseluruhan sistem serta aspek membuat dasar masih berfungsi. Malah, saya amat yakin ia akan berterusan berdasarkan apa yang menjadi kekuatan BNM selama ini.
“Tiada alasan pun untuk meraguinya. Prospek masa depan juga menarik dan banyak kerja perlu dilakukan. Kita perlu membuat persiapan bagi cabaran masa depan,” tegasnya.
Menurut Zeti, jawatankuasa tadbir urus BNM juga melaksanakan penilaian terperinci terhadap calon sesuai serta mengemukakan saranan kepada kerajaan.
“Kita tidak menyatakan apa yang kami inginkan atau boleh mengulas apa yang dinilai jawatankuasa itu kerana ia adalah rahsia,” katanya ketika ditanya sama ada bakal penggantinya itu adalah kalangan ‘orang dalam’ BNM sendiri.
“Semua persiapan sudah dibuat. Saya sendiri sudah merancang untuk menulis buku,” katanya sebagai jawapan pertanyaan adakah beliau membuat pertimbangan
untuk menyambung khidmatnya bagi tempoh separuh penggal lagi. -Bernama