Hal ini hanya berlaku di Korea Selatan. Nak dijadikan cerita seorang wanita membuang duit kertas kira-kira 22 juta won di salah sebuah jalan di Seoul pada Isnin, namun tidak sedikit pun menyebabkan kesesakan kerana tiada orang yang meluru kutip duit berkenaan.
Wanita berusia 56 tahun itu membuang not 1000-won, 5000-won dan 10,000-won di Seoul Square jam 5 petang.
Tetapi yang peliknya, walaupun ramai yang menggunakan laluan tersebut namun tiada seorang daripada mereka mengambil wang tersebut dan ramai hanya mengambil gambar.
Menurut polis, mengambil duit yang dijumpai boleh dikenakan tindakan di bawah akta mencuri. Namun dalam kes ini, wanita yang membuang duit tidak dikenakan tindakan kerana tiada undang-undang dibawah perkara itu.
Semasa disoal siasat, wanita ini mengaku membuang duit berkenaan kerana risau suami dan anak lelakinya mengambil wang tersebut. Jadi dia rela menderma wang itu kepada orang ramai di jalan.