Harimau Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan Arab Saudi apabila tewas 0-2 pada aksi terakhir Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah awal pagi tadi.
Kekalahan itu menyaksikan anak buah Datuk Ong Kim Swee terpaksa mengharungi pusingan play off Jun ini untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia manakala saingan untuk merebut tempat ke Piala Dunia sudah lama berkubur.
Arab Saudi amat memerlukan kemenangan ke atas Malaysia selepas kedudukan mereka di tangga teratas tergugat apabila pencabar terdekat Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya menewaskan Palestin 2-0 untuk berkongsi 16 mata dan hanya dibezakan dengan jaringan gol.
Kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Shah Alam September lalu dengan aksi berakhir dengan kemenangan percuma 3-0 dihadiahkan kepada Arab Saudi susulan kekecohan Utras Malaya di penghujung perlawanan.
Dalam pertembungan kedua ini, aksi berat sebelah disaksikan pada babak pertama dengan pasukan tuan rumah kendalian bekas jurulatih skuad Piala Dunia Belanda Bert Van Marwijk mendominasi sepenuhnya permainan.
Hanya ketangkasan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat berjaya menghalang asakan bertali arus Arab Saudi yang diterajui penyerang Mohamed Al Sahlawi ketika Kim Swee terpaksa mengeluarkan tonggak pertahanan Aidil Zafuan Abd Radzak dan membawa masuk Shahrom Kalam akibat kecederaan di minit ke-25.
Selepas ampuh bertahan dalam 45 minit pertama, pintu gol negara akhirnya bolos juga selepas lima minit permainan separuh masa kedua bersambung apabila penjaring terbanyak kempen kelayakan Mohamed Al Sahlawi menyempurnakan peluang di dalam kotak penalti.
Malaysia yang lebih banyak berkampung di kawasan sendiri masih belum mampu menyekat skuad Green Falcons menghasilkan gol kedua menerusi rembatan Yasir Alshahrani di minit ke-74.
Tanpa sebarang mata, skuad kendalian Kim Swee itu hanya mengutip empat mata selepas lapan perlawanan untuk menduduki tempat keempat manakala Arab Saudi masih memiliki satu lagi perlawanan dengan UAE bagi menentukan juara kumpulan.