BALI, Indonesia adalah sebuah destinasi kepulauan yang cukup sinonim dengan keindahan pantainya yang sering menjadi perhatian para pelancong dari seluruh dunia. Selain terkenal sebagai lokasi berbulan madu bagi pasangan yang sedang hangat dilamun cinta, anda juga boleh membawa seluruh keluarga untuk bercuti di Bali.
Pelbagai aktiviti dan kenangan yang boleh dicoret sepanjang anda berada di sini! Antara tarikan lain yang boleh kita lihat adalah seperti kawasan-kawasan gunung berapi yang pernah meletus berkurun lama dahulu. Dan apabila petang pula menyinsing, ramai yang akan menunggu sambil bersadai di persisiran pantai, sama sekali tidak melepaskan peluang untuk menikmati keindahan pemandangan matahari terbenam di penjuru langit. Sungguh mengasyikkan!
HOTEL
Usah bimbang. Alila Villas Soori antara yang mendapat perhatian para pengunjung di sini! Terletak di antara lapangan sawah padi dan juga pasir pantai hitam, membolehkan para pengunjung melihat keindahan batu-batu kelabu yang sememangnya menjadi antara tarikan landskap milik resort ini.
Melihat kepada penataan hiasan dalaman milik hotel pula, pasti pengunjung tergamam dan kagum dengan kemewahan hiasannya yang disuntik sedikit elemen dramatik seperti penggunaan jubin terakota dan tersergam indahnya hiasan akar pokok kayu hanyut jika para pengunjung dapat melihat di sekitar resort tersebut.
Anda yang menginginkan sedikit privasi bolehlah menikmati dan bersenda-gurau bersama yang tersayang di kolam renang milik resort dan jangan lupa untuk merasai kehebatan produk-produk signature milik hotel ketika mandi setelah pulang dari berjalan seharian di sekitar Bali.
ALAS PERUT
Bagi yang gemar bercuti sambil mencari tempat makan yang berkualiti, restoran Damai Lovina yang terletak di Damai Lovina Villa di Singaraja menyediakan hidangan yang bertaraf 5 bintang dan pengunjung tidak perlu khuatir kerana bahan yang digunakan dalam masakan mereka adalah yang terbaik di mana mereka mendapatkan hasil dari ladang organik milik hotel tersebut yang terletak di utara pantai Bali. Anda pasti teruja!
KE MANA KITA NI?
Tempat tarikan ramai para pengunjung melakukan aktiviti snorkeling adalah di sekitar Pantai Jawa dan jika anda gemarkan hidupan laut yang comel seperti ikan lumba-lumba, anda boleh melihat haiwan berkenaan yang sering berenang-renang sekitar Pantai Lovina di situ.
Untuk aktiviti yang tidak melibatkan air, anda masih boleh berkunjung ke Bali Starling Recovery Project yang boleh dilawati di Tegal Bunder. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan pelbagai jenis hidupan liar dan jika anda berada di Pemuteran, janganlah lupa untuk singah melihat-lihat hidupan laut seperti penyu. Hatchery Project memberi peluang kepada anda bersama-sama membantu melepaskan anak-anak penyu di lautan. Seronoknya!