“Memberi Muka” lazimnya adalah perkataan yang diguna pakai oleh orang Melayu untuk menggambarkan perbuatan sifat terlalu memanjakan seseorang. Tetapi, lain pula apabila ia diganti dengan maksud memberi muka oleh orang Cina. Maksud “Memberi Muka” dalam bahasa Cina adalah merujuk kepada sifat hormat-menghormati yakni menghormati orang yang lebih tua meskipun pendapat mereka sering bercanggah dengan pemikiran kita sebagai individu yang lebih muda. Itulah yang cuba diterapkan sebagai konsep utama koleksi rekaannya kali ini.
Dato’ Bernard Chandran, satu nama yang tidak asing lagi dalam arena fesyen tanah air mahupun antarabangsa. Beliau yang baru sahaja melancarkan koleksi musim Luruh/Sejuk 2016 – 2017 akan membawa anda ke satu tahap yang lebih mendalam untuk mengenali maksud sebenar “Give Face”.
Setiap helaian yang menghiasi koleksi gahnya itu adalah berdasarkan pentafsiran semula makhluk mitos seperti Naga, Burung Pheonix dan subjek rona Emas secara kreatif, namun ianya masih lagi bisa dihuraikan dengan penuh hemah menggunakan ungkapan “Give Face” itu tadi.
Konsep ketimuran yang berbekalkan budaya dan warisan bangsa Cina berjaya digabungkan sekali oleh anak kacukan India-Cina ini dalam rekaan koleksinya untuk musim Luruh/Sejuk 2016 – 2017. Dato’ Bernard Chandran sudah biasa menghasilkan rekaan eksklusif untuk nama-nama besar seantero dunia termasuklah golongan keluarga diraja, selebriti barat terkenal seperti Lady Gaga, Rihanna, Tori Amos, Estelle dan ramai lagi.
Keberhasilan beliau menempa nama dalam industri fesyen dunia sebelum ini telah banyak mengajarnya untuk menimbang tara gaya estatik ketimuran bersama intervensi moden untuk koleksi sedia dipakai “Prêt-couture” yang dijahit menggunakan tangan sepenuhnya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari bernardchandran.com