Thailand atau negara yang lebih terkenal dengan gelaran bumi gajah putih itu sememangnya kaya dengan pelbagai adat, budaya serta tempat kunjungan menarik yang sering menjadi tumpuan para pelancong asing. Namun begitu, ada beberapa perkara yang harus anda ambil kira sebelum bercuti ke sana.
Seperti juga di negara yang lain, kita sebagai pelancong harus menghormati segala ikutan masyarakat setempat. Oleh itu, Wanista nak berkongsi panduan, 10 perkara yang harus anda jelas sebelum anda menjejakan kaki ke Thailand. Yup! lebih-lebih lagi jika anda baru pertama kali hendak ke sana.
#1 Hati-Hati Dengan Makanan Di Jalanan
Seperti Malaysia dan Indonesia, Thailand juga mempunyai pelbagai pilihan gerai jalanan yang menawarkan variasi makanan enak. Tetapi, harus diingatkan supaya anda tidak terlepas pandang dan tersalah membuat pilihan.
Kebanyakkan makanan jalanan di Thailand dijual pada harga yang sangat murah dan mempunyai rasa yang bakal buat anda tidak lena malam. Namun, anda hanya digalakkan untuk membeli dari penjaja yang mempunyai ramai pelanggan dan kelihatan sibuk.
Ini kerana, tiada jaminan bahawa kualiti kebersihan makanan jalanan tersebut terpelihara seperti makanan yang disediakan di rumah. Nah, anda juga pasti tidak mahu dihantui dengan keracunan makanan bukan? Jaga-jaga.
#2 Orang Tidak Akan Beratur Di Thailand
Masyarakat setempat tidak akan berdisplin, terutamanya ketika dalam keadaan sesak yang melibatkan orang ramai di sesebuah kawasan sibuk! Jadi, anda mungkin perlu sedikit berkeras dengan mereka untuk mendapatkan tempat anda.
Jika anda berdiri umpama kanak-kanak sekolah yang menunggu giliran untuk membeli makanan di kantin, usah mimpi yang anda akan sampai ke kaunter atau di mana tempat yang sepatutnya anda berada pada waktu itu. Mereka tidak akan beri peluang kepada anda! Bertabahlah.
#3 Kunjungi Pasar Terbuka
Sudah menjadi kelaziman bagi kebanyakkan pelancong untuk ambil peluang melawat ke beberapa pasar terbuka yang ada di sekitar Thailand. Di sana, anda berpeluang melakukan aktiviti tawar-menawar ketika membeli, mendapatkan barangan ole-ole pada harga yang sangat berpatutan.
Namun, janganlah pula anda tertipu dengan jenama fesyen terkemuka yang ditawarkan pada harga rendah kerana ia mungkin tiruan semata.
Pastikan anda guna kebolehan tawar-menawar anda dengan sebaiknya di sana! Kebanyakkan peniaga di pasar terbuka Thailand tidak akan mengecewakan anda 🙂
#4 Makan Hanya Menggunakan Sudu
Masyarakat Thailand mempunyai kepercayaan mereka sendiri. Jika anda makan menggunakan garpu, anda mungkin akan dikecam oleh orang tempatan nanti.
Oleh itu, hanya makan menggunakan sudu. Perbuatan menyuap makanan menggunakan garpu dianggap kurang ajar. Gunakan garpu untuk menolak makanan anda ke sudu sahaja okay?
#5 Hati-Hati Dengan Sindiket Penipuan
Bersiap-sedia untuk menghadapi sebarang sindiket penipuan di Thailand. Ramai pelancong telah berjaya ditipu kerana ia umpama norma masyarakat di sana.
Nah, hati-hati dengan orang tidak dikenali yang secara tiba-tiba menjadi peramah atau menawarkan pelbagai nasihat kepada anda. Lagi satu, pastikan anda bersetuju dengan harga bayaran teksi bermeter sebelum anda memasuki pengangkutan awam tersebut.
6. Hormat Dengan Adat Setempat
Antara panduan berguna untuk melancong ke Thailand adalah menghormati adat orang setempat. Jangan sesekali menyentuh bahagian kepala orang Thailand kerana itu adalah bahagian tubuh yang dianggap paling suci.
Dalam masa yang sama, jangan pula anda menunding seseorang menggunakan kaki. Berlemah-lembutlah dari segi tutur-kata malah perbuatan sepanjang anda di Thailand. Mereka akan menghargai perbuatan baik anda itu.
7. Guna Pengangkutan Awam
Tidak kiralah sama ada ianya kereta api aliran ringan mahupun kereta api bawah tanah, ianya lebih murah dan efisyen untuk meneroka kawasan sekitar Bangkok.
Peta yang tertera berdekatan kawasan pengangkutan awam itu akan memudahkan anda, bahkan sistem token yang digunakan untuk membayar servis juga sangat memuaskan. Ianya memang disyorkan kepada para pelancong yang datang!
8. Bawa Pencegah Serangga Bersama
Nyamuk dan Thailand tiada berpisah. Jika anda berdegil tidak mahu menggunakan pencegah serangga mahupun sebarang krim pada kulit tubuh yang bisa menghalang kehadiran serangga yang menghisap darah itu, anda pasti akan digigit dengan rakus.
9. Orang Tempatan Berhati Mulia
Walaupun pada awalnya anda telah dinasihatkan untuk menjauhi sebarang sindiket penipuan, hakikatnya orang tempatan Thailand tersangatlah murah dengan senyuman.
Mereka diakui sangat peramah, malah bisa dipercayai sesetengahnya. Anda mesti kagum walau ke mana sahaja anda pergi, anda akan dihujani dengan senyuman manis yang terukir dibibir individu Thailand yang berada di sekeliling.
10. Nak Minum Apa?
Jangan terus minum daripada pili. Jika anda benar-benar dahaga, carilah air putih yang telah dibotolkan seperti mineral. *faham-faham je lah
Selamat melancong semua!