Mungkin anda merasakan dengan menggosok gigi setiap hari sudah mencukupi untuk menjaga kesihatan mulut dan tubuh badan, anda sebenarnya silap.
Ia masih belum mampu menghalang bakteria di dalam mulut masuk ke saluran darah yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik.
Penyakit kencing manis, kardiovaskular malahan risiko bayi lahir kurang berat badan antara kajian yang dilakukan para saintis dan doktor yang berpunca daripada masalah kesihatan mulut.
Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati lebih separuh daripada rakyat Malaysia merasakan mereka mempunyai tahap kesihatan mulut yang baik.
Hakikatnya daripada kaji selidik menunjukkan 98 peratus rakyat Malaysia kurang menjaga kesihatan mulut dengan 94 peratus daripada mereka berhadapan dengan masalah gusi.
Menurut doktor gigi, Dr Harlina Haron yang berpengalaman selama 25 tahun, ramai yang tidak sedar masalah gusi yang dihadapi boleh membawa pelbagai kesan kepada kesihatan umum mereka.
Penyakit gusi adalah titik permulaan kepada pelbagai komplikasi terutama risiko mendapat kencing manis. Mulut yang menjadi takungan bakteria juga boleh menyebabkan ulser di perut selain turut dikaitkan untuk mendapat keradangan hati.
Kesan lain yang boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan ia boleh menyebabkan peningkatan risiko pneumonia yang lebih tinggi dan akan memberi kesan kepada kelahiran bayi pra matang serta bayi yang dilahirkan kurang berat badan.
Semuanya berpunca daripada bakteria yang banyak di dalam mulut sekiranya gigi tidak dibersihkan dengan betul. Pembentukan plak pada gigi akan berlaku dalam masa yang cepat iaitu 20 minit selepas makan.
Bakteria yang memasuki badan kita mengandungi protein beku yang dipercayai boleh menyumbat saluran darah dan arteri, yang berpotensi meningkatkan risiko strok dan penyakit jantung.
Jutaan bakteria sentiasa wujud di dalam mulut dan membersihkan gigi dengan kerap serta mengurangkan penggambilan gula akan menghalang daripada pereputan dan kaviti gigi.
Penjagaan oral adalah wajib bagi semua orang yang ingin memperoleh kesihatan mulut yang baik. Caranya ialah dengan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Memberus gigi secara berkesan perlu bagi menyingkirkan sebanyak mungkin plak yang terkumpul selain melakukan flos sebagai satu-satunya cara menyingkirkan plak di kawasan yang sempit bagi menghalang masalah gusi peringkat awal.
Sekiranya tidak dilakukan dengan sempurna setiap hari akan meningkatkan risiko pereputan gigi termasuk tanda-tanda awal seperti gigi berlubang, kesakitan ketika mengigit dan rasa sensitif dan sakit pada gigi.