Tudung tiruan yang berlegar di pasaran tidak menjejaskan perniagaan Naelofar Hijab sebaliknya kepada pengguna, kata pemiliknya.
Pelakon dan pengacara Noor Neelofa Mohd Noor berkata permintaan koleksi tudungnya meningkat berbanding tahun lalu dan tidak terkesan dengan produk tiruan.
“Tiada istilah kerugian sebab setakat setahun lebih beroperasi permintaan pengeluaran meningkat dari masa ke semasa, termasuklah raya ini pun pengeluaran kami berbeza daripada tahun lepas.
“Mereka yang terkesan, lebih kepada pengguna dan mereka yang menjual,” katanya dalam satu sidang media di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor di sini petang ini.
Tahun lalu, Naelofar Hijab mengaut keuntungan berlipat kali ganda selepas membuat jualan sebanyak RM50 juta. Ia dilaporkan berkata jumlah keuntungan itu dua kali ganda daripada sasaran sejak syarikat keluarganya itu ditubuhkan beberapa tahun lalu.
Sidang media itu sempena rampasan pertama sebanyak 79 unit tudung palsu jenama Naelofar Hijab yang dibuat dalam serbuan di Gombak dan Kajang pada 28 Mac lalu. Nilai rampasan dianggarkan lebih RM7,000.
Neelofa, 27, berkata produk tiruan boleh mengelirukan pengguna yang baru mengenali jenamanya tetapi perbezaannya ketara kepada pengguna yang berpengalaman.
Kata selebriti itu lagi, pengguna setianya sudah dapat membezakan produk Naelofar Hijab berbanding tudung tiruan kerana kualitinya jauh berbeza.
“Harga yang kami tetapkan memang berpatutan tidak melebihi RM100. Mereka menjual barangan tiruan ini kebanyakannya meletakkan harga yang sama atau lebih kurang sama. Mungkin beza tidak kurang RM10.
“Di sini mangsanya pengguna sebab permintaaan dan pengeluaran kami tidak pernah putus. Apa yang kami kesal, pengguna tertipu dengan harga mahal,” katanya.
Sementara itu, pengarah urusan Naelofar Hijab berkata mereka yang menjual produk tiruan bukan sahaja meraih pendapatan haram tetapi menipu pembeli mereka.
Noor Nabila Mohd Noor berkata Naelofar Hijab sentiasa membuka pintu kepada mereka yang mahu menjadi rakan niaga produk mereka.
“Harapan kami selepas ini berhentilah menjual secara haram, jadilah stokis halal. Kami akan datang untuk melindungi pengguna tertipu.
“Bukan kami mahu menyerbu peniaga Melayu tetapi kami tidak mahu kegiatan menipu makan duit secara haram ini berleluasa sebab ia kegiatan menipu.
“Kalau betul hendak berniaga, jadilah stokis kami. Jangan jual secara haram. Boleh mohon jual dengan betul,” kata kakak Neelofa.