Buku mahal dan kebanyakan nota kuliah boleh diperolehi atas talian, daripada membeli buku yang bukan-bukan, lebih baik jual sahaja Baucar Buku 1Malaysia (BB1M).
Demikian reaksi beberapa mahasiswa yang menukar baucar bernilai RM250 untuk mendapatkan wang tunai, yang digunakan untuk menampung perbelanjaan harian hidup di kampus, lapor Harian Metro hari ini.
Akhbar itu menemubual tiga pelajar universiti, yang tidak dinamakan, susulan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi yang dilaporkan minggu ini menyenarai hitam empat pekedai kerana melanggar peraturan penukaran BB1M.
Baucar khusus untuk membeli buku itu, yang disediakan kerajaan, ditukar dengan wang tunai oleh mahasiswa sebanyak RM200 sahaja tetapi pekedai membuat tuntutan palsu kepada kerajaan, seolah-olah pelajar membeli buku.
Seorang mahasiswa yang memperkenalkan diri sebagai Hakim, 23, memilih untuk membuat salinan buku-buku rujukan, yang mahal, dan menukar baucar BB1M untuk mendapatkan wang tunai.
“Harga buku ilmiah terlalu mahal mencecah ratusan ringgit, lebih baik saya membuat salinan buku daripada rakan (yang membelinya),” katanya kepada akhbar itu.
“Duit berkenaan boleh menampung kos sara hidup selama dua minggu walaupun wang yang saya dapat kurang RM50 daripada jumlah asal baucar.”
Sementara Atiqah, 21, pula tidak berasa perlu membeli buku rujukan kerana baginya nota-nota kuliah boleh diperolehi di Internet.
“Semua nota dan tugasan saya hanya perlu dimuat turun di laman web rasmi universiti. Jadi tiada keperluan membeli buku,” katanya.
Mahasiswi ini mengaku menjual BB1M kepada orang tengah melalui seorang rakan untuk mendapat tunai RM200 dan duit itu digunakan untuk makanan dan kos lain pembelajaran.
Ameena, 22, pula berpendapat wang tunai daripada jualan baucar boleh dimanfaatkan semula untuk menampung kos pembelajarannya di kampus.
“Daripada saya kerugian kerana membeli buku tidak sepatutnya, lebih baik saya jual baucar berkenaan untuk memperoleh wang tunai.
“Kami pelajar lebih perlukan wang kerana pelbagai tugasan (akademik) memerlukan perbelanjaan sendiri, tidak rugi menjual baucar berkenaan,” katanya.