Cartoon Network baharu sahaja menyunting penyanyi kelahiran tanah air yang telah banyak menerima anugerah berprestij di peringkat antarabangsa, Shila Amzah untuk menyanyikan runut bunyi rasmi kepada siri animasi aksi kegemaran ramai -The Powerpuff Girls!
Lagu berjudul “Whose Got Power” yang akan berkumandang saat permulaan animasi berkenaan akan dinyanyikan dalam dua versi bahasa termasuk Bahasa Melayu dan Mandarin. Dalam pada itu, lagu berkenaan turut memberi sensasi semangat yang lebih energetik, diselangi korus yang berunsur rentak pop rock! Memang seronok habis!
Apabila ditanya tentang pengalamannya, Shila menyatakan perasaan terujanya kerana dapat bekerjasama dengan Cartoon Network demi menjayakan rakaman runut bunyi baru The Power Puff Girls. “Blossom, Buttercup dan Bubbles adalah ikon gadis berkuasa. Mereka adalah watak yang sering memberi inspirasi kepada saya sepanjang proses saya membesar dari kanak-kanak hinggalah sekarang”, ujarnya.
Demi memberi sokongan yang lebih kepada siri baru The Powerpuff Girls, Cartoon Network turut melancarkan Penjana Avatar The Powerpuff Girls di www.powerpuffyourself.com. Aplikasi ini membolehkan para pengguna mencipta lebih dari 10 Juta avatars Powerpuff Girls yang berupa diri mereka sendiri. Avatars ini turut merangkumi personaliti terkemuka lain seperti Beyonce dan ahli kumpulan One Direction.
TONTON PAUTAN: PERMAINAN FLIPPED OUT – THE POWERPUFF GIRLS
Permainan yang digelar “Flipped Out – The Powerpuff Girls kini juga mengambil tempat di App Store dengan harga RM12 yang menampilkan permainan membunuh raksasa dengan memadankan puzzle atau tumbukan kuasa cahaya mereka. Aplikasi ini turut bisa dimuat-turun melalui Google Play Store serta mana-mana cawangan atas talian yang menawarkan permainan ini dari 15 April 2016.
Jangan lupa untuk tonton siri animasi The Powerpuff Girls yang berwajah baru mulai 2 Mei 2016, jam 5.30pm, hanya di Astro Cartoon Network, saluran 616!