“Awak rasa saya dah gila ke nak pakai seluar koyak tapi bertudung?”
Demikian reaksi Rozita Che Wan kepada media apabila disoal isu “seluar koyak” yang dipertikai peminatnya.
Warga Internet mengkritik pelakon popular ini susulan sekeping gambarnya di Instagram yang menunjukkan beliau memakai seluar jean yang koyak di bahagian lutut, lapor portal mStar Online.
Foto tersebut menerima lebih 800 komen yang dilaporkan rata-rata peminatnya memberi nasihat berhubung cara berpakaian itu -yang dianggap tidak Islamik.
“Saya malas hendak jawab tentang perkara ini. Apa yang ingin saya tegaskan ialah saya tahu apa yang saya buat… itu yang penting,” portal itu memetik Rozita, 44, sebagai berkata.
Dikenali juga dengan Che Ta, beliau enggan melayan kritikan pengguna-pengguna media sosial yang didakwanya suka menegur cara berpakaiannya dan hanya mencari kesilapan semata-mata.
“Orang di Instagram itu memang rasa diri mereka suci dan nampak orang lain semua tidak betul,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengesahkan memakai jeans koyak tersebut tetapi mengenakan legging, atau sarung kaki, di bawah seluar itu.
“Saya ambil pendekatan tidak mahu bertelagah dengan mereka,” tambahnya.