Seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam berputih mata apabila Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM30,000 yang ingin ditukarkan kepada wang tunai dilarikan seorang lelaki bernama ‘Achong’ dalam kejadian 2 April lepas.
Ketua polis daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata mangsa yang berusia 22 tahun membuat laporan polis sejurus menyedari dia ditipu. Kes melibatkan BB1M itu merupakan yang pertama dilaporkan di daerah ini.
“Penuntut lelaki ini menjadi orang tengah antara rakan-rakan yang berhasrat untuk menukar baucar buku diberi kepada mereka kepada wang tunai.
“Mangsa bertemu dengan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Achong’ di satu lokasi di Shah Alam pada 12.30 tengah hari, kononnya mendakwa sanggup membeli baucar tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri kempen derma darah peringkat ibu pejabat polis daerah Shah Alam di sini hari ini.
Beliau berkata ketika urusan jual beli, penuntut berkenaan didatangi dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan cuba menahannya berikutan mangsa dikatakan menyalah guna baucar berkenaan.
Katanya, dua lelaki terbabit yang memakai baju putih berlogo polis kemudian menunjukkan sepasang gari kepada mangsa sebelum ‘Achong’ bertindak melarikan diri.
“Bertindak atas maklumat daripada mangsa, polis berjaya menjejaki tujuh lelaki berumur lingkungan 17 hingga 40 tahun di beberapa lokasi sekitar Shah Alam pada 4 April lepas,” katanya.
Shafien berkata penahanan kesemua suspek itu turut membawa kepada penemuan dua helai baju putih berlogo polis dan gari yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.
“Suspek-suspek ini mempunyai kaitan dengan lelaki bernama ‘Achong’ yang kini masih belum dapat diberkas.
“Siasatan turut menunjukkan kumpulan ini menyasarkan individu yang memiliki baucar buku tersebut termasuk pelajar sebelum memperdayakan mangsa supaya menjual baucar berkenaan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 170 dan 384 Kanun Keseksaan. -Bernama