Almari adalah tempat atau ruangan simpanan yang biasanya digunakan untuk mengatur segala koleksi pakaian dari hujung rambut sampai hujung kaki. Namun begitu, masih ramai yang tidak tahu dan buntu bagaimana cara yang terbaik untuk menata almari agar bisa menyimpan barangan peribadi dengan sempurna.
Kadang-kala, ruangan yang kecil pun bisa dimuatkan barang yang banyak. Dengan idea yang bijak, anda pasti boleh menjadikan almari baju sebagai ruangan yang paling kemas serta teratur. Anda nak ketahui caranya? Jom curi inspirasi dari gambar-gambar ini!
#1 Gunakan Penggantung Baju Yang Sesuai
Anda perlu menitik beratkan penjagaan baju jika anda nak baju tahan lama dan kekal cantik. Oleh itu, gunakan hanger yang bersesuai dengan fabrik pakaian. Untuk jaket yang berasaskan material tebal dan berat, cuba gunakan hanger kayu manakala hanger lembut yang mempunyai perincian span untuk pakaian yang lebih ringan dan mudah rosak.
#2 Gantungkan Papan Pancang
Papan pancang atau “pegboard” adalah sejenis papan pasak yang boleh anda gantungkan di pintu sebelah dalam almari untuk menggantungkan segala keperluan peribadi anda yang ringan namun penting seperti beg kantung, aksesori mahupun cermin dan koleksi selendang yang dipakai sehari-hari.
#3 Gunakan Kotak Kasut Yang Boleh Ditimbun
Kotak kasut jenis lutsinar dan boleh ditimbun boleh dibeli di kebanyakkan gedung yang menjual barangan rumah termasuklah daiso. Kasut lebih mudah reput dan rosak jika terlalu terdedah terhadap udara dan dibiarkan begitu sahaja tanpa penjagaan rapi. oleh itu, tempatkan ia di dalam kotak plastik agar terpelihara sentiasa dan kelihatan kemas juga!
#4 Tempatkan Aksesori Dalam Kotak Lut Sinar
Demi memudahkan anda untuk mencari kala sedang kelam-kabut bersiap ke pejabat, anda boleh tempatkan koleksi aksesori seperti cincin, gelang dan pin dalam kotak jenis lut sinar. Tetapi, harus diingatkan supaya ada baiknya jika anda menggantung sahaja aksesori yang mudah berbelit seperti rantai dan anting-anting.
#5 Cipta Laci & Ruangan Simpanan Sendiri
Salah satu solusi yang bijak, anda boleh menyusun dan memberi sentuhan sendiri terhadap ciptaan almari anda. Unit almari terpisah yang bisa anda suai padankan ini boleh anda perolehi dari IKEA.
#6 Gantungkan Beg Pada Kayu Pencangkuk
Tas tangan juga mempunyai sifat yang mudah reput seperti kasut. Untuk menggelak beg daripada kehilangan bentuknya yang asli, selain menyimpan dalam beg kalis habuk, anda boleh menggantung ia pada cangkuk. Nampak kemas dan dalam masa yang sama, mudah untuk anda melihat dan memilih jika mahu menggunakannya kelak.
#7 Gunakan Ruang Secara Menyeluruh
Meskipun almari itu telah mempunyai ruang simpanan yang sedia bina, anda sebenarnya boleh menggunakan almari secara menyeluruh. Percayalah bahawa setiap ruang kosong ada kegunaannya. Anda boleh gunakan rak tergantung, malah tong serbaguna untuk menyimpan serta memenuhi ruangan dalam almari secara optimum.
#8 Gunakan Batang Kayu Untuk Menayang Kasut
Yup! Jika anda adalah kaki shopping yang punyai banyak koleksi kasut, cara ini memang berguna! Jadi tidaklah anda terlupa bahawa anda telah mempunyai beratus-ratus pasang kasut!
#9 Asingkan Baju Yang Tidak Digunakan Dalam Kotak Besar
Buat mereka yang gemar melancong ketika musim sejuk, anda pasti banyak menyimpan pakaian berbulu tebal, baju sejuk, stokin, sarung tangan dan sarung kepala yang tidak digunakan hari-hari. Oleh itu, asingkan ia daripada ruang simpanan almari utama anda. Boleh simpan ia dalam kotak besar.
#10 Lindung Fabrik Pakaian Dari Meregang
Baju yang berasaskan material atau fabrik bergetah selalunya mudah untuk meregang jika digantung lama pada hanger. Sebagai penyelesaian, anda boleh gunakan rak kanvas untuk meletakkan pakaian-pakaian yang mudah regang.
#11 Letakkan Label
Lekatkan kertas papan putih atau papan hitam yang boleh anda dapati dari kedai kraf pada susunan ruang almari untuk dijadikan label. Bijak bukan? Ianya lebih teratur!
#12 Gunakan Pemisah Rak
Pemisah rak berfungsi untuk membahagikan ruang simpanan secara efisyen.
#13 Susun Ikut Kategori
Kumpulkan baju-baju anda mengikut kategori dan jenis: Baju Kerja, Seluar, Skirt, Kasut, Tas Tangan, Tudung, Pakaian Dalam, Pakaian Tidur, Pakaian Hari-Hari Di Rumah. Ini bisa memberi kelebihan kepada anda untuk melihat dengan jelas apa yang anda miliki di dalam almari tersebut.
#14 Susun Mengikut Warna
Selain kelihatan cantik seperti pelangi, menyusun pakaian mengikut warna bisa memberi motivasi kepada anda setiap kali ingin mencari padanan baju yang sesuai!
#15 Simpan Tangga Lipat Berdekatan
Dah kata tadi, jika anda menggunakan ruangan dalam almari sepenuhnya, ia pasti mencecah ke bahagian paling atas. Oleh itu, buat si petite sekalian, simpanlah tangga berdekatan dengan almari supaya mudah untuk anda gunakannya jika ingin mnecapai barangan yang tersimpan di bahagian paling tinggi.
#16 Manfaatkan Dinding
Dinding yang kosong jangan dibazirkan begitu sahaja. Daripada dicemari sawang, ada baiknya jika anda membina rak-rak berguna yang memanfaatkan ruangan dinding kosong sehingga ke bahagian siling sebagai ruangan simpanan.
#17 Almari Kelengkapan Kebersihan
Anda ingat pakaian anda sahaja perlu ada almari? Untuk jadi individu yang lebih teratur dan pengemas, apa kata anda cari ruang untuk tempatkan satu almari khas untuk menyimpan segala kelengkapan kebersihan rumah. Hebat!
#18 Dermakan Baju Kepada Yang Memerlukan
Faham yang anda sayangkan barang-barang anda, lebih-lebih lagi jika ianya hasil titik peluh sendiri. Tetapi, buat apa simpan barang terlalu banyak sehingga almari anda umpama perut ikan paus yang tunggu masa untuk meletup? Nah, jadi ringan-ringankan tulang untuk mengemas kini almari anda. Asingkan baju-baju lama yang anda rasa masih dalam keadaan elok, namun tidak mahu dipakai lagi untuk didermakan kepada mereka yang memerlukan. Bukankah itu lebih mulia?
Selamat beramal!