Jarang sekali untuk dilihat jenama pakaian dan pengeluar barangan sukan menonjolkan sisi rekaan yang berkonsep feminin semata. PUMA baru-baru ini memperkenalkan koleksi selipar istimewa dari siri FENTY rekaan selebriti versatile yang lebih mesra disapa dengan nama “Riri” itu.
Selipar yang dihiasi bebulu lembut ini lahir berikutan kejayaan kolaborasinya bersama dengan PUMA untuk koleksi kasut senaman serta sepatu jenis “creepers” terdahulu sehingga semuanya habis dijual! Ternyata, Fur Slides dari PUMA x FENTY ini lebih menyerlah dan memiliki tarikan yang tersendiri.
Tidak mempunyai cetakan jalur seperti selipar PUMA normal yang biasa digayakan oleh para lelaki aktif di luar sana, Fur Slides diselitkan dengan gaya feminin bagi memikat hati anak gadis muda yang ranggi dan berani mencuba sesuatu kelainan.
Ramai yang ternganga tatkala melihat pertama kali Rihanna menggayakan selipar jenis sarung itu bersama padanan pakaian santai. Nampak sungguh ranggi tetapi dalam masa yang sama masih lagi memberi sensasi aura seksi yang eksentrik!
Bukan itu sahaja, Fur Slide dari FENTY ini sememangnya sesuai samada untuk dipakai bersama sarung kaki mahupun tidak, malah anda boleh bergaya dengannya tatkala bersiar-siar di tepi kolam renang atau kala berjalan di keliling bandar! Ya, ianya pasti menjadi item fesyen hangat untuk musim panas 2016!
Anda boleh dapatkan Fur Slides PUMA x FENTY ini di beberapa butik dan pengedar jenama PUMA yang sah pada harga RM199 sepasang. Untuk keterangan lanjut, sila layari global.puma.com