Seorang gadis Malaysia, yang mengambil wang sehingga A$4.6 juta (RM13.8 juta) akibat kesilapan sebuah bank di sini, tidak melakukan kesalahan, kata majistret.
Christine Jiaxin Lee, 21, dibawa ke mahkamah hari ini selepas ditahan di lapangan terbang di sini pada jam 8.25 malam (6.25pm Kuala Lumpur) ketika ingin berlepas pulang ke Malaysia semalam.
Pelajar kejuruteraan kimia itu membelanjakan kira-kira A$1 juta (RM3 juta) daripada wang A$4,653,333.02 (RM13,962,898.83) yang dikreditkan ke akaunnya di Westpac Bank.
Akaun itu dibuka sebulan sebelum hari jadinya yang ke-18 pada Ogos 2012, lapor portal Sydney Morning Herald.
Wang itu dibelanjakan untuk membeli beg, barangan mewah dan juga dipindahkan antara Julai 2014 hingga April tahun lalu, kata peguamnya.
Polis mendakwanya atas kesalahan secara tidak jujur mendapat faedah kewangan walau mengetahui wang itu dimasukkan akibat kesilapan.
Namun, majistret Lisa Stapleton membenarkan Lee diikat jamin, dengan berkata Westpac Bank tidak sengaja memberinya kemudahan kredit tanpa had, jadi wanita itu menggunakannya.
“Ia bukanlah wang hasil jenayah. Wang seperti itu kita semua impikan,” kata majistret.
Di mahkamah Waverley, peguamnya Fiona McCarron berhujah polis sukar membuktikan perbelanjaannya itu melanggar undang-undang.
Majistret juga bersetuju dengan hujah ini. “Dia tidak ambil wang itu daripada mereka [bank]. Mereka yang beri wang itu kepadanya,” kata Stapleton lagi.
Sewaktu jenayah itu didakwa berlaku, Lee tinggal di Australia selama setahun.
Wanita itu terus berada di negara ini, mengambil jurusan pengajian tersebut dan mempunyai kekasih, Vincent King, dari Rhodes sejak 18 bulan lepas.
Namun pegawai pendakwa Marc Turner membantah ikat jamin tersebut, lapor Sydney Morning Herald lagi.
Sarjan polis itu menyatakan Lee merancang meninggalkan negara tersebut apabila memohon pasport Malaysia baru-baru ini selepas waran tangkap dikeluarkan dua bulan lalu.
Walaupun siasatan dimulakan sejak 2012, waran tangkap dikeluarkan oleh polis awal Mac lalu. Turner juga mendedahkan wanita muda itu tidak menjawab telefon dan emel daripada bank dan polis.
Namun peguam pula berhujan pasport Lee telah hilang dan gadis itu ingin ke Malaysia untuk melawat orang tuanya.
Walaupun membenarkan ikat jamin, majistret meletakkan syarat ketat terhadap pergerakannya.
Beliau mesti melapor diri kepada polis dua kali sehari dan menyerahkan pasport Malaysia kepada pihak berkuasa.
Syarat lain, menurut portal tersebut, termasuklah terus tinggal dengan teman lelakinya di Rhodes.