Pendatang baru yang juga dikatakan persis Zayn Malik, Harris Baba ini telah memulakan penglibatannya dengan menceburi bidang lakonan dan juga modeling.
Mula menapak di dalam bidang lakonan dengan dua buah teledrama yang bertajuk ‘Alien Planet Cinta’ pada November 2015 di saluran Astro Ria dan juga ‘Cinta Viral’ lakonan bersama Elfira Loy yang telah keudara pada 14 Februari lalu di saluran RTM 1. Kini beliau telah melebarkan sayapnya dan mengembangkan bakatnya di dalam bidang nyanyian pula.
Kini, Harris Baba yang berasal dari Singapura ini merupakan darah kacukan diantara Pakistan/Cina dan juga Pakistan/Iran tampil dengan single sulung beliau yang bertajuk ‘Katakan’. Walaupun tidak mempunyai darah Melayu, namun Harris mempunyai bakat dalam melakonkan watak dan menyanyi di dalam Bahasa Melayu dan kini beliau sedang mencuba dalam memperbaiki diri untuk sering bertutur di dalam Bahasa Melayu.
Lagu ‘Katakan’ ini dipertaruhkan sebagai buah tangan pertama oleh Harris Baba kepada peminat beliau. Kerana mempunyai minat yang mendalam terhadap muzik, Harris Baba telah dilamar oleh Faizal Tahir sendiri untuk menghasilkan lagu ‘Katakan’ ini. Lagu yang menceritakan tentang cinta ini telah dicipta oleh penyanyi popular tanah air iaitu Faizal Tahir sendiri bersama Mike Chan dan juga Ezra Kong yang sekaligus bertanggungjawab sebagai penerbit untuk single tersebut. Hasil nukilan lagu yang dilengkapi dengan alunan suara Harris Baba ini tentunya menjadikan ‘Katakan’ sebagai karya yang mampu menaikkan nama Harris ke persada yang lebih besar.
Lirik video bagi lagu ini baru sahaja diriliskan di YouTube pada 25 Mac yang lalu dan sudah mula mendapat sambutan sejak berkumandang di corong radio. Lagu ‘Katakan’ mempunyai ciri ciri yang membuatkan pendengar senang untuk menerima lagu ini. Berentakan tempo yang perlahan dan muzik yang ‘mellow’ menambahkan lagi minat untuk para pendengar menghayati lagu ini.
“Katakan – Harris Baba” merupakan satu lagi edaran digital daripada Warner Music (M) Sdn Bhd dan hasil usahasama bersama Uprising Entertainment dan juga Faithful Music Sdn Bhd. Lagu ini juga sudah boleh didapati di iTunes, KKBOX, Spotify dan juga Deezer.