Acara tempatan Ol-Skool & Kustom Kulture Malaysia iaitu Art of Speed bakal kembali lagi tahun ini dengan pembaharuan isi yang lebih padat dan besar-besaran. Acara ini yang terkenal dengan pertunjukan gaya hidup automotif, pameran kereta dan motosikal, galeri seni, aktiviti interaktif dan juga aksi lagak ngeri (stunt)!
Pengasas Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar menjelaskan kepada kami enam sebab mengapa AOS2016 acara tahun ke-5 menjadi acara yang dinanti-nantikan tahun ini!
Bertemu Lagenda Permotoran & Sukan
Pengunjung AOS2016 berpeluang bertemu lagenda antarabangsa dalam dunia modifikasi kenderaan dan juga kenderaan yang dibawa khas dari Jepun. Lagenda sukan papan selaju, Steve Caballero juga akan turut hadir buat pertama kali ke Malaysia.
Kenderaan Modifikasi Terbaik dari Malaysia dan Luar Negara
Pameran lebih daripada 200 buah kereta & motosikal modifikasi dalam dua dewan berasingan. Ia merangkumi kenderaan klasik dan juga generasi baru bernilai jutaan ringgit termasuk dua buah Harley-Davidson ubahsuai dan sebuah kereta “Hopping Lowrider” model Chevrolet Malibu yang dibawa khas dari Jepun.
Aktiviti Buat Seluruh keluarga
Jenama kesukaan ramai termasuk Hot Wheels & Vans turut hadir dengan aktiviti tersendiri di “House of Vans”. Lebih 300 jenama lain turut serta menjual pelbagai produk tempatan & antarabangsa.
Demo Sukan Lasak
Sesi demonstrasi oleh atlet profesional papan selaju akan diadakan di “House of Vans”. Aksi stunt motosikal berkuasa tinggi bersama Aaron Twite dari USA juga dirancang, dan lagenda sukan drift negara Tengku Djan Ley akan mengadakan sesi “Taxi Ride” bersama pengunjung bertuah.
Galeri Seni Antarabangsa
Galeri seni “MotoCircus” mempertengahkan artis-artis dalam dan luar negara yang sedia menawarkan khidmat “pinstriping” dan “lettering” kepada peminat.
Cabutan Bertuah
Cabutan bertuah tahun ini menyediakan hadiah utama berupa sebuah motosikal berkuasa tinggi, Triumph Bonneville Street Twin 2016 tajaan Fast Bikes Sdn Bhd iaitu pengedar tunggal Triumph Motorcycles Malaysia.
Acara kelima Art of Speed akan berlaku di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) pada 28 dan 29 Mei 2016. Maklumat lebih lanjut mengenai acara ini boleh dilayari di www.artofspeedmy.com