Di sini, siapa yang gemar makan Subway cookies? Penulis, kalau singgah makan sandwich di Subway mesti tak lupa untuk beli cookies yang dibakar segar dari ketuhar. Sedap sangat! Teksturnya tidak rangup dan rapuh seperti biskut cip coklat Famous Amos mahupun yang dibeli dari pasaraya.
Tidak dinafikan, rasa kemanisan biskut cip coklat Subway agak keterlaluan sebenarnya, namun apa yang penulis gemar adalah teksturnya yang sedikit liat kala dikunyah. Yup! Seolah ada ramuan karamel yang dicampurkan bersama.
Jika anda pun gemar biskut cip coklat Subway, anda bolehlah ikut resepi yang Wanista ingin kongsikan ini okay?
Ramuan:
- 2 cawan tepung sebaguna
- 1 camca teh garam
- 1 camca teh serbuk penaik
- 2 biji telur saiz besar
- 1 1/4 cawan gula perang
- 3/4 cawan gula halus
- 8 sudu butter (dicairkan)
- 2 camca teh ekstrak vanila
- 2 cawan coklat cip pilihan anda (coklat gelap/susu/putih/strawberi)
- Kekacang (jika nada mahukan rasa yang unik selain cip coklat biasa)
Cara:
- Dalam mangkuk, gaul bahan kering seperti tepung, serbuk penaik dan garam bersama. Letak tepi.
- Dalam mangkuk yang lain, gaul pula gula perang dan gula halus sehingga tidak berbuku.
- Masukkan butter cair, gaul sebati.
- Setelah itu tambah sebiji telur dan kacau lagi, sebelum anda memasukkan sebiji lagi telur. Jangan lupa tambahkan estrak vanila sekali!
- Setelah campuran itu sebati, masukkan bahan kering tadi bersama. Gaul sehingga campuran sebati dan tidak berbuku.
- Akhir sekali, masukkan cip coklat pilihan anda dan campuran kekacang cincang jika mahu!
- Rehatkan sebentar campuran doh biskut di dalam peti sejuk selama 30 minit sambil anda menyediakan dulang pembakar.
- Dengan menggunakan skop ais krim, skopkan campuran doh biskut dan letakkan ia di atas dulang pembakar pada jarak yang agak jauh dari satu sama lain kerana biskut akan membesar nanti.
- Set suhu ketuhar pada 375°F dan biskut hendaklah dibakar selama 10-14 minit.
Nota: Anda boleh kawal kadar gula mengikut konsistensi kemanisan yang anda mahukan.
Taraa! Kini anda pun boleh membakar biskut yang sama seperti yang dijual di Subway!
Selamat mencuba!