Bayangkan patung Lego yang dibina selama tiga hari tiga malam hancur sekelip mata ditolak kanak-kanak. Apa yang anda rasa kalau terjadi pada anda, mesti kecewa. Tapi itulah yang terjadi pada lelaki ini.
Tidak sampai sejam selepas pameran bongkah permainan LEGO bermula, sebuah patung yang dibina sepenuhnya daripada kepingan LEGO tumbang dan hancur selepas ditolak seorang kanak-kanak.
Lebih menyedihkan, pembina patung berkenaan mengambil masa selama tiga hari tiga malam untuk menyiapkan patung karikatur Nick yang tampil dalam filem Animasi Zootopia.
Insiden tersebut dikongsi oleh pembina patung, Zhao, di laman sosial China Weibo. Menurut CCTV News, Zhao telah menerima permohonan maaf daripada ibu bapa kanak-kanak tersebut yang dipercayai berusia sekitar empat hingga lima tahun.
“Kanak-kanak itu tidak berniat untuk memusnahkannya,” ujar Zhao.
Media tempatan turut melaporkan perdebatan hangat dalam kalangan netizen di China mengenai tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak selepas gambar yang dikongsi Zhao viral.
Netizen kebanyakan menyalahkan ibu bapa yang enggan bertanggungjawab dan permohonan maaf semata-mata tidak mencukupi.