Dah selalu sangat orang menilai diri anda daripada cara anda berpakaian, warna rambut anda, cara lilitan tudung anda, atau mungkin juga dari bintang zodiak anda?
Bosan kan? Jadi, apa kata hari ini kita cuba selami personaliti peribadi kita melalui jenis beg tangan yang kita sering gunakan.
Sambil kita kenal personaliti, sambil itu juga kita akan belajar nama-nama beg okay? Supaya lepas ni bila husband tanya, “Sayang, awak nak handbag yang macam mana sebagai hadiah birthday nanti?” Ha, tak adalah anda menjawab “Alaaa… beg yang ada tali pendek, tali panjang, banyak zip, bentuk bulat-bulat, yang muat isi telekung tu”. Ah sudah… Jenuh husband nak faham, kan?
#1 Tote
Beg tote adalah sejenis beg yang mempunyai tali pemegang yang panjangnya cukup sekadar untuk disangkut ke bahu. Jadi, apa relevennya orang yang suka memakai beg tote ini?
Tote melambangkan wanita yang tangkas, memerlukan sejenis aksesori yang boleh dimuatkan banyak barang dalam satu-satu masa. Hidupnya sering dikerumuni banyak perkara sehingga tiada masa untuk dirinya sendiri. Betul ke? Memang sibuk nampaknya orang yang suka memakai beg jenis tote ini.
Patutlah masa zaman penulis belajar di Universiti dahulu, ramai kawan-kawan penulis yang rajin duk menjijit “tote bag” ke hulu ke hilir. Kalau boleh, nak sumbat semua buku, bekas pensil, barang-barang keperluan lain di dalam beg tote tu 🙂
Namun begitu, anda juga sebenarnya peka, gemar bersiap-sedia sebelum apa-apa kemungkinan yang berlaku. Dengan adanya beg tote di sisi, hidup anda tidak akan pernah kehabisan ruang walau ke mana pun yang anda pergi! Yay!
#2 Hobo
Mempunyai tapak asas yang melengkung. Hobo biasanya menjadi kegemaran wanita yang memiliki personaliti peka mirip tote, cuma dirinya lebih mementingkan stail.
Meskipun saiz adalah keutamaan untuk memuatkan segala macam keperluan harian anda, namun dalam masa yang sama, anda masih mahu kelihatan sempurna dan bergaya di mata orang. Barulah anda akan berasa puas!
Ruang yang besar di dalam beg itu menunjukkan anda juga adalah seorang yang bercita-cita serta mempunyai impian yang besar untuk mengapai sesuatu. Bahkan sangat berkeyakinan!
#3 Beg Sandang
Beg sandang atau backpack lazimnya dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar sekolah. Seperti anda, mereka yang gemar menyandang backpack ini adalah seorang yang berjiwa muda, aktif, mementingkan keselesaan dan sentiasa bersifat ceria!
Beg sandang yang berkarakter, dihiasi corak mahupun perincian yang artistik biasanya melambangkan perasaan anda yang cinta akan cabaran. Anda tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baru di dalam hidup. Malah, anda cukup berkeyakinan sehingga mampu meneroka alam secara solo serta melibatkan diri di dalam sebuah karier yang pastinya mengukur kebolehan anda.
#3 Clutch
Beg genit jenis clutch atau lebih dikenali sebagai beg kepit ini melambangkan ciri-ciri klasik, glamor yang ringkas -digemari oleh wanita yang tidak memerlukan aksesori besar dan menonjol untuk kelihatan bergaya.
Ramai yang rasa clutch tidak langsung menepati ruangan yang diperlukan untuk dipenuhi dengan barang-barang peribadi mereka.
Oleh itu, boleh dikatakan bahawa orang yang gemar memakai clutch ini sebenarnya minimalis, sangat teliti dan teratur kerana hanya barang-barang yang PENTING sahaja dibawa bersama seperti wang tunai, gincu, telefon pintar serta kunci rumah dan kereta. Cukup!
#4 Cross Body
Beg silang adalah kegemaran remaja masa kini. Walaupun sangat ringkas, ia masih lagi mampu mamancarkan aura sensasi.
Terdapat banyak jenis beg silang yang dijual di pasaran namun, beg silang juga mempunyai ruang simpanan yang terhad.
Jika beg silang adalah kegemaran anda, anda memang seorang yang moden, berfikiran kehadapan dan sangat terperinci.
Andalah gadis yang paling praktikal! Apa yang anda pakai, itu sudah memadai tanpa perlu membawa dua atau tiga beg yang lain.
#5 Satchel
Satchel adalah sejenis beg yang rupanya hampir sama dengan beg bimbit (briefcase) cuma rekaannya lebih ranggi serta mempunyai penutup beg berkancing.
Dalam masa yang sama, ia mempunyai dua fungsi iaitu anda boleh bergaya menggunakan tali panjang yang boleh disilang ke badan mahupun dengan cara membimbitnya dengan tali pemegang pendek yang ada di bahagian tengah sebelah atas.
Satchel adalah simbol ikonik yang merujuk kepada wanita berkerjaya.
Jika anda minat memakai satchel, anda adalah seorang yang bijak menguruskan masa, teratur serta pandai menstabilkan kehidupan profesional dan peribadi. Ini kerana, anda mahu berjaya di dalam apa jua yang anda lakukan.
#6 Shopper
Ha yang ni penulis perasan, ramai wanita yang gemar memakai beg jenis ini.
Shopper beg ini rekaannya sama seperti beg tote, cuma talinya lebih panjang sedikit dan badan begnya juga lebih lebar berbanding badan beg tote yang memanjang ke bawah.
Ia dikatakan sesuai benar untuk wanita yang gemar bersantai dan menikmati hari minggu.
Sama ada anda singgah ke pasar, membeli-belah di shopping mall berdekatan mahupun sedang bergerak tangkas untuk ke pejabat, beg jenis ini akan bisa membuatkan anda kelihatan hebat sentiasa walau dalam keadaan apa sekalipun.
#7 Bowling Bag
Ni ke yang anda selalu cakap “beg bulat-bulat” tu? 🙂 Ini namanya bowling bag okay?
Beg jenis bowling biasanya mempunyai reka bentuk yang bersahaja, cocok sangat untuk mereka yang gemarkan keserdehanaan di dalam kehidupan.
Reka bentuknya yang teguh adalah untuk memenuhi keperluan jenis wanita yang sangat tegas akan undang-undang hidup mereka. Jika mereka kata “YES” maka “YES” lah ia, tetapi jika mereka kata “NO”, maka “NO NO NO” lah ia. Gitu! Dalam masa yang sama, anda sangat sofistikated!
#8 Fanny Pack
Yup! Buatkan kita teringat kembali memori saat beg yang diikat di pinggang ini cukup popular sebagai aksesori eksentrik era 90an!
Mengapa perlu anda meletakkan beban yang sepenuhnya terhadap bahu? Pinggang kan ada? 😉 Siapa yang gemar memakai beg jenis ini, anda memang sempoi habis!
Kepada makcik-makcik yang menjual pisang goreng, yang bertungkus-lumus menjual juadah berbuka di bazar ramadhan minggu hadapan, anda memang SEMPOI! Sebab wanita-wanita inilah yang gemar memakai beg jenis Fanny Pack ini. Nampak cool je! Untuk simpan duit, kan kan kan?
Jadi, yang mana satukah jenis beg tangan kegemaran anda?