Siapa pun yang hidup di dunia ini pasti sedar tentang kewujudan Hollywood Walk of Fame -terkenal dengan deretan nama-nama besar dalam arena dunia termasuklah bintang filem, orang kenamaan serta atlet yang telah banyak menyumbang jasanya kepada negara dan bangsa.
Nama-nama tersebut kemudiannya diukir dalam batu marmar berbentuk bintang di sepanjang jalan kawasan Hollywood of Walk of Fame berkenaan. Antara nama yang tersenarai adalah termasuk Elvis Presly, Morgan Freeman, Jackie Chan, malah Donald Trump juga diberi penghormatan itu.
Namun, dalam pada 2,500 bintang yang terbentang di atas susur jalan, dilewati dan dipijak saban hari oleh pengunjung yang hadir ke Hollywood Boulevard, ramai juga yang musyhkil kerana nama ahli tinju terkemuka Muhammad Ali tidak pernah dilihat menyertai nama-nama besar yang lain. Mengapa?
Ya, kerana Muhammad Ali adalah satu-satunya nama yang bintangnya tidak diukir di atas lantai, bahkan ianya diletakkan di satu bahagian dinding bersebelahan Walk of Fame, dalam Dolby Theatre iaitu rumah Academy Awards. Namanya mula terpahat pada tahun 2000.
“Ali menolak udangan yang dihantar oleh Hollywood Chamber of Commerce untuk mendapatkan bintang tersebut kerana beliau tidak mahu namanya dipijak dengan rakus tanpa rasa hormat oleh orang ramai.” -Arash Markazi
“Dengan nama baginda Rasulullah S.A.W kesayangan kita semua, sukar untuk saya juga membiarkan nama baginda “Muhammad” dipijak oleh orang lain”, jelas Ali ketika itu.
Oleh yang demikian, untuk menghormati permintaan jaguh tinju itu, Hollywood Chamber of Commerce membuat keputusan di mana, bintang ke 2,189 yang dimiliki Muhammad Ali itu adalah bintang pertama sehingga hari ini, merupakan satu-satunya bintang yang terpahat di dinding.
Meskipun ramai yang melihat penghormatan itu sebagai sesuatu yang lazim, ia sebenarnya sangat bermakna kerana menjadi seorang Muslim di Amerika Syarikat bukanlah mudah. Bagaimanapun, Muhammad Ali telah menjadikannya mudah dan tidak pernah sekalipun dirinya dipandang dengan berat sebelah oleh orang setempat kerana mereka juga turut mengkagumi beliau.
Muhammad Ali adalah atlet terhebat sepanjang zaman, malah dirinya juga layak diangkat sebagai seorang individu Muslim yang terkenal, mengukir nama di persada sukan antarabangsa. Al-fatihah.