Makin ramai pelarian Islam di Eropah memeluk Kristian, menurut gereja yang pernah mengadakan upacara pembaptisan beramai-ramai, lapor The Guardian.
Data kuat belum ada tetapi cerita-cerita lisan membayangkan makin orang Islam — yang lari daripada konflik, penindasan dan keperitan ekonomi Timur Tengah dan Asia tengah — ke gereja.
Faktor-faktor murtad termasuklah tertarik dengan agama baru, tanda terima kasih kepada kumpulan Kristian yang membantu dalam kegetiran dan harapan dapat suaka politik.
Di gereja Trinity di Steglitz di pinggir bandar Berlin, pengikutnya meningkat daripada 150 orang dua tahun lalu kepada hampir 700 orang, kebanyakan orang Islam, kata pastor Gottfried Martens.
Awal tahun ini, gereja-gereja di Berlin dan Hamburg dilaporkan mengadakan acara penukaran agama beramai-ramai pencari suaka di bangunan majlis perbandaran, lapor akhbar itu lagi.
Gereja Katolik Austria menerima 300 permohonan untuk pembaptisan dewasa dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, dianggarkan 70 peratus daripada mereka adalah pelarian.
Di Katedral Anglikan di Liverpool, servis mingguan dalam bahasa Parsi menarik antara 100 hingga 140 orang. Kebanyakan pelarian Iran, Afghanistan dan negara lain di Asia Tengah.
Seorang biskop dari Bradford, Toby Howarth, mengesahkan satu daripada empat saudara baru dalam tempoh setahun lalu asalnya orang Islam, kebanyakan mereka pelarian dari Iran.
Tahun lalu, persidangan biskop Austria menerbitkan garis panduan baru untuk paderi, memberi amaran sesetengah pelarian mungkin memeluk Kristian semata-mata demi mendapat suaka.
Sejak 2014, lapor The Guardian lagi, pemohon yang ingin memeluk Kristian di Austria perlu melalui “tempoh persediaan” setahun bagi membolehkan mereka dinilai demi menjaga wibawa gereja.
“Wujud minat yang ketara terhadap Kristian melangkaui kepentingan mendapat sekeping sijil semata-mata,” kata Friederike Dostal, penyelaras kursus persiapan dalam wilayah ketua biskop Vienna.
“Kami tidak berminat dengan orang Kristian pada borang saja. Anda perlu menghayati beberapa proses perubahan sebagai Kristian.”
Tambahnya, antara 5 hingga 10 peratus pemohon berubah fikiran dan meninggalkan kursus persediaan sebelum mereka dibaptiskan.
Dalam laporan akhbar sama, seorang pembantu paderi yang berasal dari Iran berkata gereja membantu mengukuhkan iman seseorang dan sekali gus mendapat status pelarian.
“Kedua-duanya saling berkaitan. Kebanyakan orang memohon suaka berasaskan agamanya,” kata Mohammad Eghtedarian, kini bertugas di Katedral Liverpool.
Merasai sendiri keperitan sebagai pelarian dari bandar Shiraz ke UK, beliau berkelana di lebih 10 negara Eropah dengan berjalan kaki, menumpang trak dan mengambil keretapi.
Dalam perjalanan getir itu, tambahnya, beliau sentiasa mendapat sokongan emosi dan jasmani daripada orang Kristian.
Sebelum mendapat suaka, Eghtedarian dikurung di pusat tahanan Tinsley House, dekat lapangan terbang Gatwick, selatan London.
“Setiap hari sungguh mencabar dan indah. Mencabar kerana tidak pasti sama ada saya akan dihalau pulang; indah kerana saya berada dalam genggaman Tuhan.
“Saya berjanji pada Tuhan: jika saya dibebaskan, saya akan berkhidmat kepada-Mu,” katanya, yang mengabdikan diri untuk membantu pelarian.
“Mereka sangat terdesak. Mereka menghabiskan banyak wang dan membazir wang itu. Mereka terlalu daif, didera dan kadang-kadang dirogol.”
Pengalaman sebagai pelarian sungguh hina dan tidak berperikemanusiaan, katanya seperti dilaporkan.