Lebih ramai pemandu di Malaysia kini gemar memanfaatkan kegunaan Touch ‘n Go serta SmartTAG kerana servis bayaran tol yang dijalankan menggunakan kutipan secara elektronik itu lebih ringkas dan efisyen sekaligus memenuhi sistem kutipan tol baharu yang dilaksanakan di sekitar Lembah Klang, kebelakangan ini.
Walau bagaimanapun, masih ada segelintir pengguna yang tidak berpuas hati dan meragui SmartTAG akan mengecaj lebih kerana pengendaliannya bergantung sepenuhnya terhadap sistem mesin elektronik.
Sai Ye Lee, seorang pengguna tol telah dicaj 5 kali ganda daripada kadar sebenar bertindak untuk berkongsi ketidakpuasan hatinya berhubung isu tersebut melalui akaun Facebook peribadinya jumaat lalu.
Insiden ini telah berlaku ke atas dirinya pada Rabu lepas (1 Jun 2016) apabila dia menyusur keluar tol Rawang Selatan dari Jalan Tunku Abdul Halim (Jalan Duta). Sejurus melepasi kaunter tol SmartTAG, dirinya sangat terkejut apabila melihat baki kadnya berkurang dari RM94.50 kepada RM50.70.
“Ini bermakna Plus Highway telah mengecas lebih dari RM50 untuk perjalanan yang kurang dari RM10,” jelas Lee dalam pos Facebooknya.
Selepas berjaya menghubungi pihak Touch n’ Go dan Plus Highway, Lee begitu kecewa dengan respon yang diberikan oleh pihak yang berkenaan. Menurutnya, jawapan yang diterima daripada kedua belah pihak adalah serupa apabila dia bertanya berkenaan punca perkara tersebut.
Pihak yang bertanggungjawab cuma menjelaskan bahawa insiden sebegitu biasa berlaku dan mungkin berpunca dari pembaca kad magnetic yang berfungsi untuk memindahkan jumlah ketika proses pembayaran tol dilakukan. Mereka juga berkata bahawa mana-mana mangsa boleh terus hadir ke pejabat Plus berdekatan untuk mendapatkan bayaran balik.
Meskipun Lee telah berjaya mendapatkan kembali bayaran balik sebanyak RM43.80, dia masih risau jika tiada apa-apa tindakan lanjut yang diambil bagi menyelesaikan permasalahan yang sering berlaku ke atas pengguna ini. Dia meminta pihak Plus Highway dan Touch n’ Go membuat sesuatu agar kepentingan awam terpelihara.
“Kedua-dua syarikat tidak memberikan solusi yang setimpal malah memaksa saya untuk memandu ke pejabat mereka untuk menuntut bayaran semula. Adakah ini adil?” tambahnya.
Untuk anda yang ditimpa masalah yang sama seperti Lee, anda boleh ikut jejak langkah Lee dengan mengisi borang “Aduan Caj Berlebihan” (ACB) di mana-mana cawangan pejabat Touch n’ Go. Anda juga boleh menghubungi talian khidmat 03 – 2714 8888 atau email terus kepada [email protected].
Untuk keterangan lanjut, sila layari www.touchngo.com.my