Wanita yang tidak bertudung, berpakaian ketat dan menjolok mata sepanjang bulan Ramadan akan dikenakan amaran dan kaunseling di Kelantan.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) berkata, sehingga kini 24 wanita sudah diberi amaran manakala tujuh lagi diberi kaunseling dalam ‘Ops Ramadan dan Aurat’.
“Kami hanya memberikan kaunseling serta amaran kepada mereka kerana tujuan kami adalah untuk mendidik masyarakat supaya menghormati bulan Ramadan,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Mohd Fadzuli Mohd Zain dilapor Berita Harian, hari ini.
Pengarah JHEAIK, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, berkata operasi itu bertujuan untuk memberi kesedaran tentang kewajipan menutup aurat mengikut hukum Islam.
“Untuk permulaan Ramadan, fasa pertama bagi operasi cegah aurat serta perbuatan tidak sopan adalah peringkat didikan serta nasihat manakala untuk operasi puasa, kita lebih ke arah fasa penguatkuasaan,” katanya.
Katanya, operasi berkuatkuasa bermula pukul 11 pagi sehingga 5 petang dan akan disambung pada waktu malam jika mendapat sebarang maklumat.
Katanya, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan berkaitan Seksyen 5 (1) iaitu perbuatan tidak sopan boleh membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara enam bulan.
Manakala bagi yang tidak berpuasa, peruntukan dibawah Seksyen 26 mengenakan denda RM500 serta penjara tiga bulan atau RM1,000.
“Seramai 89 anggota di seluruh negeri ini akan dikerahkan dan kita mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) serta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam memastikan operasi ini berjalan lancar,” katanya.