Pelakon dan penyanyi Rafidah Ibrahim teruja dengan hadiah jam tangan Rolex bernilai RM40,000 sempena hari jadi, namun bimbang pula memakainya.
Rafidah, yang mesra dipanggil Fida saja, berkata selepas hadiah dan kek itu, yang berjumlah RM50,000, mendapat liputan meluas media, jam itu akan dipakai ke majlis khas sahaja.
“Jam itu lebih RM40,000. Fida tidak akan pakai sembarangan kecuali jika perlu hadir di majlis penting,” katanya kepada ProjekMMO.
“Jika pakai saja-saja, Fida pun tidak berani sebab benda ini sudah heboh dicerita. Fida tidak pakai setiap masa. Apabila perlu, baru Fida pakai.”
Dalam sambutan ulang tahun hari lahir ke-30 baru-baru ini, Fida menerima kejutan tersebut. Majlis sambutan istimewa itu pula dilaporkan memakan belanja sehingga RM100,000.
Jelas usahawan itu lagi, jam mewah itu diberi hasil koleksi wang rakan-rakannya sebagai penghargaan kepadanya yang bertungkus-lumus berkerja.
https://www.instagram.com/p/BGR4N6EmMJb/
Ditanya sama ada pemberian jam itu sebagai membazir seperti ditanggap sesetengah pihak, Fida berkata jam itu boleh dipakai berulang-ulang kali dan bukannya terbuang.
“Orang akan cakap macam-macam. Kek bernilai RM50,000 sebab [nilai] jam yang mahal. Ia tidak membazir sebab jam itu kita boleh pakai juga. Ia tidak dibuang,” katanya.
“Fida terkejut juga apabila mereka buat macam itu. Mereka kata kos majlis itu segalanya RM100,000. Fida tanya kenapa, mereka kata sebab selama ini Fida fokus bekerja.
“Jadi pada umur 30, agar ada detik berharga dan ganjaran untuk Fida. Ia hasil kerja Fida selama ini.”
Penyanyi lagu “Apo Kono Eh Jang 2012” juga tidak berasa hadiah itu menyebabkan beliau termakan budi kerana rakan-rakannya saling membantu dalam perniagaan.
“Bukan hanya seorang terlibat [hadiah], jadi tidak ada masalah. Mereka mahu ia jadi memori indah untuk Fida dan mereka juga profesional sebab sebelum ini kami kerja sama-sama.
“Mereka sebelum ini nampak Fida kerja macam mana, jadi mereka pun ingin beri ganjaran. Hendak marah mereka tidak jadi sebab terharu,” katanya.