Pemungut derma yang tidak berdaftar dan mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) yang menjalankan aktiviti mereka di negeri ini, akan dikenakan tindakan undang-undang.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK, Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata, tindakan itu bertujuan mengelak orang ramai tertipu dengan sindiket mengutip derma.
“Kita bimbang sumbangan kewangan oleh orang ramai itu tidak sampai kepada pihak sepatutnya dan disalahgunakan.
“Sepanjang Ramadan ini kita akan gerakkan anggota penguatkuasa untuk melakukan pemantauan dan operasi kawasan tumpuan orang ramai seperti bank dan bazar Ramadan bagi mengesan mereka yang mengutip derma secara tidak sah,” katanya di sini, hari ini.
Syeikh Ahmad Faisol berkata pihaknya bimbang dengan senario pihak tidak bertanggungjawab meminta derma daripada orang awam sepanjang Ramadan ini untuk kegunaan pihak tertentu.
“Peminta derma yang meletakkan tong di masjid atau tempat awam juga perlu mendapatkan kebenaran, jika ada kebenaran JAIK, mereka boleh mengumpul derma bagi tujuan tertentu,” katanya.